suria

Empat Termasuk Tiga Beradik Maut Nahas Dua Kereta Di Jengka

KUANTAN: Empat termasuk tiga beradik maut dan dua lagi cedera dalam satu kemalangan membabitkan dua buah kereta di Km47.5, Jalan Temerloh-Bandar Jengka, malam Rabu.

Pemandu salah sebuah kereta yang turut dinaiki dua adiknya dan dua rakan lelaki hanya seorang gadis berusia 16 tahun, manakala sebuah kereta lagi dipandu seorang wanita.

Ketua Polis Daerah Maran DSP Johari Shabudin berkata mereka yang terkorban ialah gadis itu Fatin Atikah Muhamed Faizal, adik perempuannya Fatin Atifah, 15, dan adik lelaki Muhammad Faiz Danial, 6, serta rakan mereka Muhammad Azlan Abdul Talib, 21.

Mereka yang cedera ialah seorang lagi penumpang kereta yang dipandu Atikah, Shawal Ruddin Hambali, 19 dan pemandu sebuah lagi kereta Nor Fazidah Abd Majid, katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.

Johari berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 7.40 malam ketika kereta yang dipandu Atikah dari arah Temerloh bertembung dengan kereta Nor Fazidah yang dipercayai memasuki laluan bertentangan.

Mengulas lanjut, Johari berkata akibat pertembungan itu Atikah dan Muhammad Azlan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala Atifah dan Muhammad Faiz Danial disahkan meninggal dunia di Hospital Jengka.

Shawal Ruddin pula patah paha kiri manakala Nor Fazidah cedera di pinggang, dan kedua-duanya kini dirawat di Hospital Jengka, katanya.

"Kita masih menyiasat punca kemalangan kerana jalan itu lurus, serta keadaan cuaca juga baik ketika kejadian berlaku," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain