suria

Salah Guna Istilah ‘Bufet Ramadan’ Boleh Dikenakan Tindakan

KUALA LUMPUR: Pengusaha hotel di negara ini dinasihatkan supaya tidak sewenang-wenangnya menggunakan istilah ‘bufet Ramadan’ di sepanjang bulan Ramadan akan datang.

Ini kerana jika mereka didapati tidak menyediakan makanan halal mereka boleh dkenakan denda di bawah Akta Perihal Dagangan 1972.

Penolong Pengarah Bahagian Hub Halal, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Mohd Amri Abdullah ketika berkata demikian menegaskan;

“Penyalahgunaan istilah "bufet Ramadan" adalah tertakluk kepada akta berkenaan dan ia perlu diberikan perhatian sewajarnya kerana membabitkan kepentingan pengguna terutama masyarakat Muslim dan Jakim akan melakukan pemantauan sepanjang bulan Ramadan ini."

Oleh yang demikian katanya, bagi mana-mana hotel yang menggunakan promosi bufet Ramadan tetapi didapati tidak menyediakan makanan dan minuman secara halal mereka boleh dikenakan tindakan.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pengumuman perolehan sijil halal untuk Hotel Grand Seasons daripada Jakim, di sini Rabu.

Dalam konteks ini, tanggungjawab dan peranan Jakim adalah bertindak melakukan pemeriksaan dan pemantauan manakala tugas penguatkuasaan adalah di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Dalam pada itu beliau turut menjelaskan istilah 'perbahasaan halal' merupakan penggunaan dalam makanan atau apa juga bentuk perdagangan atau perniagaan yang bermaksud halal, ditanggung halal atau makanan Islam.

Di bawah Seksyen 18 (2) Akta Perihal Dagangan 1972, mereka yang didapati melakukan kesalahan ini akan dikenakan denda maksimum RM250,000 dan kesalahan kedua serta seterusnya dikenakan denda maksimum RM500,000.

Mohd Amri berkata, tiada paksaan bagi mana-mana hotel yang mahu mengadakan promosi bufet Ramadan dalam mendapatkan pensijilan halal.

“Namun, pengguna Muslim kini semakin bijak membuat penilaian dan mereka dinasihatkan supaya memastikan hotel yang mengadakan promosi itu mempunyai sijil halal,” katanya.

Setakat ini, terdapat 80 dapur hotel di seluruh negara yang telah mendapatkan pensijilan halal daripada Jakim dan proses permohonan untuk hotel akan dipercepatkan sempena Ramadan.

Pengumuman tentang sijil halal kepada Hotel Grand Seasons dilakukan selepas pensijilan itu ditarik balik pada 29 Julai lalu kerana melanggar piawaian Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia.

Bagaimanapun, hotel tersebut telah membuat permohonan semula sijil halal daripada Jakim dan berjaya memenuhi semua syarat dan mendapat pengiktirafan semula pada 2 Ogos lalu membabitkan lima dapur.

Pengurus Besar Hotel Grand Seasons, Vincent Pillai tidak dinafikan penarikan semula sijil halal itu telah menjejaskan perniagaan mereka.

“Maka kami segera membuat permohonan semula bagi memenuhi semua kriteria dan peraturan yang ditetapkan Jakim berdasarkan panduan dan nasihat yang diberikan.

“Mutu dan perkhidmatan yang ditawarkan kami merupakan keutamaan di Hotel Grand Seasons, begitu juga dengan pengiktirafan sijil halal daripada Jakim,” katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain