suria

Rakyat Malaysia Muncul Pemegang Saham Utama Sheffield United

KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan Malaysia bakal muncul sebagai pemegang saham utama Sheffield United, salah satu kelab bola sepak tertua Britain.

Beliau dilaporkan sedang dalam peringkat akhir memeterai perjanjian dengan Pengerusi Sheffield United, Kevin McCabe dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Trevor Birch yang menjanjikan pelaburan jutaan pound ke dalam kelab Divisyen Satu itu.

Birch memberitahu The Star bahawa kelab berkenaan sedang menyiapkan perjanjian itu.

Tambahnya, rakyat Malaysia berkenaan akan membuat pelaburan yang bermakna kepada kelab terbabit.

Birch tidak menyaksikan perlawanan persahabatan kelab itu menentang Estudiantes dari Argentina pada 1 Ogos untuk berbincang mengenai perjanjian itu di Malaysia.

"Kami mahu menjadi pesaing serius untuk dipromosi ke Liga Perdana Inggeris musim hadapan dan dengan penglibatan beliau, kami melihat masa depan yang lebih cerah," katanya di sini, Selasa.

Birch, pemain Liverpool sekitar awal 1970-an, merupakan CEO Chelsea yang mengaturkan pengambil alihan Roman Abramovich berjumlah RM706 juta (£140 juta) pada tahun 2003.

Difahamkan bahawa perbincangan antara United dan rakan kongsi berpotensi Malaysia telah berlanjutan lama dan kesimpulannya akan dicapai "dalam tempoh beberapa bulan".

Menurut sumber, ahli perniagaan Malaysia itu dijangka melawat United minggu hadapan.

Kebarangkalian penggabungan baru itu akan menjadikan perlawanan pertama Divisyen Satu Ahad ini sebagai "majlis Malaysia" apabila United berdepan Cardiff City, milik jutawan kumpulan Berjaya, Tan Sri Vincent Tan.

"Apa yang menarik mengenai penglibatan (ahli perniagaan Malaysia) itu, beliau melabur dalam kelab yang kaya dengan sejarah dan paling penting sekali, kredibiliti kewangan yang kukuh," kata Birch.

United juga dikenali sebagai "The Blades" disebabkan reputasi bandar itu dalam industri penghasilan besi keluli cukup terkenal di seluruh dunia.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain