suria

Jabatan Penjara, Imigresen dan Rela Urus Depot Jabatan Imigresen

KUALA LUMPUR: Mulai hari ini, 13 Depot Jabatan Imigresen akan diuruskan oleh Jabatan Penjara, Imigresen dan Rela bagi memperkemas dan memantapkan pengurusan depot tersebut di seluruh negara.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Lee Chee Leong dalam satu kenyataan berkata Jabatan penjara akan menguruskan bahagian keselamatan dan kepenjaraan, Imigresen bahagian dokumentasi dan imigresen dan Rela bahagian kawalan keselamatan luar.

Keputusan tersebut dicapai dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas bagi Penambahbaikan Pengurusan Depot Jabatan Imigresen Malaysia yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Seri Mahmood Adam petang tadi.

"Jawatankuasa siasatan ini juga mengenal pasti terdapat kelemahan dari segi disiplin dan kepimpinan yang ada di Depot Tahanan Imigresen KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur)," katanya Sementara itu, tiga pegawai kanan dari Jabatan Penjara Malaysia, dari gred 44 (penguasa penjara) akan ditugaskan untuk mengetuai tiga depot tahanan yang dikenal pasti menghadapi masalah.

Ketiga-tiga pegawai yang disenaraikan bermula hari ini akan ditugaskan di Depot Tahanan Imigresen KLIA di Sepang, Juru, Pulau Pinang dan Lenggeng, Negeri Sembilan. Keputusan ini juga diambil ekoran kes 20 tahanan warga Afghanistan meloloskan diri dari Depot Tahanan Imigresen KLIA pada 1 Ogos lepas.

Dalam kejadian 3 pagi itu, kesemua tahanan itu dipercayai melarikan diri selepas memotong dua batang besi jeriji pagar di depot tahanan tersebut.

Kejadian sama pernah berlaku Jun lepas apabila 16 mangsa pemerdagangan manusia dari Afghanistan dan Myanmar berjaya meloloskan diri. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain