suria

Kepala Surat: Ronnie Liu Buat Laporan Polis

SHAH ALAM: Exco Kerajaan Negeri Selangor, Ronnie Liu pada Isnin membuat laporan polis terhadap penyalahgunaan kepala surat dan cop rasminya dengan tujuan menyokong kontraktor untuk memperolehi projek di negeri itu.

"Saya dinasihatkan oleh Lembaga Disiplin DAP untuk membuat laporan polis berhubung perkara ini," katanya kepada pemberita sebelum membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah di sini.

Liu berkata, beliau akan menyerahkan bukti kepada pihak polis berupa tiga pucuk surat yang telah menggunakan kepala surat dan cop rasmi beliau sebagai Exco Kerajaan Negeri Selangor untuk memperolehi kelulusan projek di negeri itu.

"Saya tidak pasti berapa pucuk surat yang telah digunakan, setakat ini saya hanya temui tiga sahaja.

"Ada orang telah menggunakan surat itu dan menandatangani surat sokongan ini bagi memberi projek kepada kontraktor. Jadi saya minta pihak polis menyiasat perkara ini serta-merta," katanya.

Beliau bagaimanapun enggan mengesahkan sama ada Tee terlibat dalam penyalahgunaan kepala surat dan cap rasmi beliau.

"Saya akan biar polis siasat perkara ini sebab semua surat ini menggunakan kepala surat dan cop rasmi saya, namun tandatangan itu bukan saya punya," katanya.

Ronnie yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Pandamaran tiba di IPD Shah Alam pada pukul 2.15 petang dilihat meninggalkan bangunan tersebut kira-kira 30 minit kemudian.

"Saya juga telah diarahkan untuk memberi keterangan di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial berhubung kes Tee Boon Hock.

"Ini kerana ada tiga orang telah membuat laporan polis dalam kes ini. Jadi saya akan memberi keterangan kepada mereka," katanya.

Tee, Ahli Majlis Perbandaran Klang (MPK)selama dua penggal semalam dipecat oleh Lembaga Disiplin DAP kerana didakwa menyalahgunakan kepala surat dan cop rasmi Liu yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Penyelidikan dan Kajian Selangor untuk tujuan meraih keuntungan daripadanya.

Beliau bagaimanapun menafikan menyalahgunakan kepala surat dan cop rasmi Ronnie bagi mendapatkan kontrak bernilai RM1juta untuk kroni dan seorang ahli keluarganya.

Dia juga pernah menjadi pembantu khas Liu pada Mac 200 hinga 18 November 2009.

Dalam perkembangan berkaitan, Liu menegaskan beliau tidak akan meletakkan jawatan mahupun mengambil cuti ekoran daripada tuduhan yang dilemparkan terhadap penyalahgunaan kepala surat dan cop rasminya bagi mendapatkan projek di negeri itu.

"Kenapa saya perlu letakkan jawatan atau ambil cuti, saya bukan orang yang bersalah, saya hanya mangsa dalam kes ini," tegasnya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas desakan Speaker Selangor, Teng Chang Khim yang meminta orang sebenar yang melakukan kesalahan itu perlu bertanggungjawab dan meletakkan jawatannya dalam tempoh terdekat.

Artikel Lain