suria

Pemuda Putus Kaki Kiri Setelah Dua Motosikal Bertembung

BESUT: Seorang pemuda yang dalam perjalanan pulang selepas menghadiri temuduga sebagai juruteknik dengan Perodua di Kota Baharu, putus kaki kiri setelah motosikal yang ditungganginya bertembung dengan sebuah motosikal lain dalam kejadian di Kampung Anak Ikan di sini hari ini.

Dalam kemalangan pada 3.30 petang itu, Mohamad Abdilah Mamat, 21 dari Tanjung Ladang Mengabang, Kuala Terengganu, dikejarkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan dengan kaki kirinya yang terputus dari paras bawah lutut dibawa bersama.

Kejadian dikatakan berlaku apabila Mohamad Abdilah yang dalam perjalanan ke Kuala Terengganu cuba memotong sebuah lori di lokasi kejadian namun bertembung dengan sebuah lagi motosikal yang ditunggang Mohamad Nurushabah Mustaffa, 21, dari Felcra Keruak, Hulu Besut, dari arah bertentangan.

Mohamad Nurushabah yang cedera di bahagian muka dan Mohamad Abdillah serta kakinya yang terputus dihantar ke Hospital Besut untuk rawatan dengan bantuan penduduk kampung dan anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia.

Bagaimanapun Mohamad Abdillah dipindahkan ke HUSM Kubang Kerian kira-kira 6.40 petang ini bagi membolehkan pakar bedah di hospital itu cuba menyambung kembali kaki kirinya.

Adik mangsa, Mohamad Ismail, 19, ketika ditemui Bernama di Unit Kecemasan Hospital Besut berkata beliau bersama seorang lagi rakan sedang dalam perjalanan pulang setelah menemani abangnya menjalani temuduga sebagai juruteknik dengan Perodua di Kota Baharu.

Katanya semasa kejadian, abangnya menunggang motosikal berseorangan manakala beliau menunggang sebuah lagi motosikal bersama rakannya yang hanya dikenali sebagai Aqil.

Beliau berkata apabila sampai di tempat kejadian, Mohamad Abdillah dilihat telah memotong sebuah lori dan beliau yang mengekori dari belakang tiba-tiba terdengar dentuman kuat.

"Saya tidak tahu bagaimana kejadian itu boleh berlaku. Saya hanya nampak abang terbaring di jalan dalam kesakitan dan kakinya yang terputus tercampak di tengah jalan," katanya.

Mohamad Ismail berkata beliau berdoa semoga abangnya selamat manakala kaki yang terputus itu dapat disambung semula.

Beliau berkata Mohamad Abdillah yang merupakan anak ke lapan daripada 12 beradik itu baru menamatkan pengajian peringkat Diploma di Kolej Kemahiran Tinggi Mara di Pasir Mas awal tahun ini dan dipanggil menjalani temuduga oleh Perodua hari ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Besut Deputi Supritendan (DSP) Noor Zainy Md Noor ketika dihubungi berkata setakat ini pihaknya belum menerima laporan mengenai kejadian itu. - BERNAMA

Artikel Lain