suria

Bapa Kanak-kanak Yang Mati Khamis Lepas, Serah Diri

PORT DICKSON: Bapa kanak-kanak perempuan yang mati akibat pendarahan dalam otak selepas didakwa terjatuh dari meja di kediaman keluarganya di Lukut dekat sini, Khamis lepas, menyerah diri di Balai Polis Port Dickson di sini, Sabtu.

Lelaki yang merupakan pekerja kilang simen di Labu, Seremban itu hadir di Balai Polis Port Dickson dengan ditemani isterinya yang berusia 26 tahun dan Pengerusi MCA negeri Datuk Dr Yeow Chai Thiam.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Baljeet Singh berkata lelaki berusia 33 tahun itu berbuat demikian bagi membantu siasatan berhubung kematian kanak-kanak yang merupakan anak ketiga dari empat beradik itu.

"Polis akan mendapatkan perintah tahanan reman sebelum disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana cuai," katanya kepada pemberita di sini, Sabtu.

Khamis lepas, lelaki itu membuat laporan polis pada pukul 10.25 malam mendakwa anaknya yang berusia lima tahun cedera selepas terjatuh dari meja setinggi kira-kira 0.6 meter di rumahnya.

Baljeet berkata polis akan turut mengambil keterangan isteri lelaki terbabit bagi membantu siasatan kes itu. - BERNAMA

Artikel Lain