suria

Polis Tahan Empat Remaja Samun Kedai Serbaguna

KUANTAN: Polis berjaya menahan empat remaja lelaki lima jam selepas mereka melarikan wang tunai dan beberapa kotak rokok di sebuah kedai serbaguna di Jalan Ah Peng, Bentong, Selasa. Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Supt Nordin Mustapha berkata dalam kejadian pada 3 pagi itu, tiga daripada lelaki terbabit yang memakai topi keledar masuk ke dalam kedai berkenaan yang dijaga seorang pembantu jualan wanita berusia 18 tahun.

"Salah seorang daripada lelaki terbabit kemudian mengeluarkan parang dan mengarahkan wanita itu menyerahkan wang tunai dan kotak rokok sebelum melarikan diri dengan dua buah motosikal bersama seorang lagi lelaki yang menunggu di luar," katanya ketika ditemui di sini, Rabu.

Polis yang menerima maklumat mengenai kejadian itu kemudian menjalankan gerakan mencari dan menemui dua motosikal yang dinaiki keempat-empat remaja berkenaan di sekitar jalan tersebut kira-kira 40 minit selepas kejadian.

Katanya sebuah motosikal yang dinaiki dua daripada lelaki terbabit berjaya meloloskan diri namun kedua-dua mereka ditahan pada 8 pagi hari sama ketika sedang merayau-rayau di sekitar bandar Bentong.

Kesemua mereka yang berusia antara 16 hingga 18 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong untuk siasatan mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan, katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain