suria

24 Pelajar Ditahan Dalam Satu Operasi

GEORGE TOWN: Tindakan berani seorang pelajar sekolah menengah di Teluk Kumbar di sini menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar mengundang padah apabila dia ditahan polis di kawasan Sekolah Menengah Teluk Kumbar, di sini, Selasa.

Pelajar tingkatan lima itu adalah antara 24 pelajar yang berusia dalam lingkungan 13 hingga 17 tahun ditahan dalam satu operasi Penguatkuasaan dan Advokasi di Sekolah-sekolah seluruh negeri ini.

Operasi itu dijalankan dengan kerjasama Jabatan Keselamatan Jalan Raya Pulau Pinang (JKJR), Jabatan Pelajaran Negeri (JPN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan Raya (JPJ).

Ketua Cawangan Trafik Daerah Barat Daya, Cif Insp. Mohd.Zin Ali berkata, daripada 34 pemeriksaan yang dilakukan pada pukul 3.30 petang itu, hanya 10 pelajar sahaja memiliki lesen kenderaan.

"Ketika diperiksa, kesemua mereka didapati telah melakukan pelbagai kesalahan yang berbeza seperti mengubah spesifikasi asal motosikal, tiada lesen kenderaan atau lesen tamat tempoh.

"Kita bertindak menyita kesemua motosikal itu ke Balai Polis Teluk Kumbar dan akan menyiasat sekiranya motosikal tersebut terlibat dalam kejadian curi," katanya kepada pemberita di sini.

Katanya, ibu bapa pelajar berkenaan diarah menuntut semula motosikal tersebut di balai polis berkenaan.

Sementara itu, Pengarah JKJR negeri, R. Jegan berkata, penganjuran program tersebut bertujuan memberi pendedahan meluas kepada pelajar dan ibu bapa mengenai keselamatan di jalan raya dan langkah keselamatan yang perlu dipatuhi.

Beliau berkata kajian mendapati 70 peratus kematian di jalan raya di negeri ini melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal. - BERNAMA

Artikel Lain