suria

Polis Tahan Empat Pelajar Dipercayai Belasah Pelajar Lain

JOHOR BAHARU: Polis menahan empat pelajar lelaki dipercayai terlibat dalam insiden membelasah seorang pelajar lelaki lain, yang dikatakan mahu keluar daripada sebuah kumpulan samseng, Jumaat lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata kesemua pelajar berumur 17 tahun itu ditahan berasingan di Taman Setia Indah, Taman Molek dan Stulang Laut di sini, selepas polis mendapat maklumat mengenai mereka.

"Kesemua mereka yang masih bersekolah itu kini reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini pada Selasa.

Jumaat lepas, Lim Bing Li, 17, pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Foon Yew, Stulang Laut di sini, menerima 12 jahitan di kepala serta lebam di muka dan badan akibat dipukul anggota kumpulan samseng.

Dalam kejadian pukul 6 petang itu, Lim dikatakan berjalan kaki pulang ke rumah di Taman Bukit Indah, di sini sebelum dibawa oleh kesemua samseng berkenaan menaiki kereta ke Senibong, Permas Jaya di sini, sebelum dibelasah.

Mohd Mokhtar berkata polis telah mengenal pasti kumpulan samseng itu dan tindakan sedang dilakukan untuk mencegah mereka mempengaruhi pelajar-pelajar sekolah.

Beliau berkata kertas siasatan berhubung kes tersebut akan diserahkan ke Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.

Katanya pihaknya meminta pengurusan sekolah, ibu bapa dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk bekerjasama dengan polis sekiranya mempunyai maklumat berhubung sebarang kegiatan yang menyalahi undang-undang termasuk cubaan merekrut pelajar untuk menjadi anggota kumpulan samseng. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain