suria

Terengganu Akan Tingkat Pentadbiran Masjid

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri Terengganu akan mempertingkatkan aspek pentadbiran masjid termasuk soal kebersihan agar menjadi lebih teratur dan kemas.

Sebagai permulaan, lima masjid akan dipilih untuk projek contoh, kata Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri Khazan Che Mat.

"Kita akan mencontohi pengurusan masjid yang dilaksanakan di beberapa negeri seperti Singapura, Pulau Pinang dan Sarawak. Kita akan laksanakan di lima masjid dahulu sebelum di perluas ke semua masjid kerajaan di negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas menutup bengkel dua hari pengurusan masjid di sini hari ini yang turut dihadiri wakil Majlis Agama Islam Singapura yang juga Pengurus Besar Masjid Kelompok Timur Laut Kassim Kamis dan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang Elias Zakaria.

Khazan berkata kerajaan negeri mendapati masjid di Terengganu kurang memberi penekanan terhadap aspek kebersihan sedangkan masjid merupakan institusi agama yang seharusnya ditonjol dengan kebersihan.

Khazan berkata kerajaan negeri juga akan mengaktifkan semula jawatankuasa penerangan agama daerah untuk menyemarakkan aktiviti masjid dan setiap masjid akan diberi bantuan RM50,000 untuk program keagamaan. - BERNAMA

Artikel Lain