suria

Enam Lelaki Dipercayai Kumpulan Yang Sama Merompak Kedai Emas

IPOH: Polis tidak menolak kemungkinan kumpulan enam penjenayah bersenjata yang melakukan rompakan di kedai emas Taman Pertama, dekat sini, dua hari lepas, adalah kumpulan sama yang melakukan beberapa siri rompakan di daerah ini termasuk di Gopeng.

Ketua Polis Perak Datuk Zulkifli Abdullah, berkata modus operandi yang dilakukan kumpulan terbabit didapati menyerupai seperti kes sebelum ini dan polis mengesyaki ia dilakukan ahli atau kumpulan sama.

"Bagaimanapun, kes berkenaan masih dalam siasatan dan polis masih mengenal pasti individu terbabit. Kita sudah mengambil keterangan daripada saksi kejadian dan beberapa individu lain untuk membantu siasatan.

"Sehingga kini, tiada sebarang tangkapan dibuat dan polis masih mendapatkan beberapa maklumat mengenai kejadian itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pertandingan boling 40 pasukan Sukarela Polis Malaysia di sini hari ini.

Zulkifli mengulas laporan sekumpulan enam perompak bersenjatakan sepucuk pistol dan beberapa tukul besi memecah masuk sebuah kedai emas di Taman Pertama, dekat sini sebelum melarikan barang kemas dianggarkan bernilai RM700,000 dalam rompakan nekad lima minit, dua hari lepas.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.50 pagi itu, perompak melepaskan satu das tembakan ke udara sebelum melarikan diri.

Beliau berkata, berikutan kejadian itu, pemilik atau pengusaha kedai emas diingatkan supaya mempertingkatkan kawalan keselamatan premis masing-masing. - BERNAMA

Artikel Lain