suria

Pemandu Parah Bas Langgar Treler

KUANTAN: Seorang parah manakala 10 lagi mengalami cedera ringan dalam satu kemalangan membabitkan sebuah bas dan treler di kilometer 48.4 lebuh raya Kuala Lumpur-Karak, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Bentong Supt Rosli Abdul Rahman berkata dalam kejadian pada 1.45 pagi, bas persiaran yang membawa 42 penumpang itu sedang dalam perjalanan dari arah Kuantan ke ibu negara.

"Setibanya di tempat kejadian, bas tersebut dipercayai melanggar bahagian belakang sebuah lori treler yang membawa muatan besi," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata, akibat kemalangan itu, pemandu bas, K. Surenthiran, 21, mengalami patah kedua-dua kaki dan kini dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah.

Katanya 10 penumpang bas berkenaan yang mengalami cedera ringan dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Bentong.

Bagaimanapun katanya pemandu dan kelindan treler tidak mengalami sebarang kecederaan. Punca kejadian masih dalam siasatan, katanya. -BERNAMA

Artikel Lain