suria

Nilai Pasaran Tanah Wakaf RM1.11 Bilion Di Seluruh Negara

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini diberitahu, keluasan tanah wakaf di seluruh negara kini berjumlah 14,690 hektar dengan nilai pasaran RM1.11 bilion.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom, maklumat mengenai status dan nilai tanah wakaf masih lagi dikemaskini dan dikumpulkan oleh setiap jabatan agama Islam negeri.

Katanya, data yang diperolehi sekarang adalah hasil maklumat yang dikumpulkan sepanjang lima tahun ini.

“Kebanyakan maklumat dan status mengenai tanah wakaf sukar untuk diperolehi kerana ia terlibat dalam pertikaian di mahkamah,” katanya menjawab soalan Nasharuddin Mat Isa (PAS - Bachok).

Jamil Khir berkata, hanya Negeri Sembilan, Melaka dan Selangor memiliki enakmen yang berkaitan dengan pengurusan tanah wakaf.

“Manakala pengurusan tanah wakaf di negeri-negeri lain ditadbir oleh enakmen pentadbiran agama Islam masing-masing.

“Oleh itu bagi mana-mana negeri yang masih belum memiliki enakmen tanah wakaf agar segera berbuat demikian agar pengurusan tanah wakaf di negeri masing-masing dapat diurus tadbir dengan baik dan berkesan," ujarnya.

Beliau juga berkata, satu sistem yang dinamakan e-Wakaf telahpun diperkenalkan untuk merekod semua data terkini mengenai tanah wakaf di setiap negeri.

Kepada satu soalan tambahan, Jamil Khir berkata, antara pertikaian yang selalunya berlaku ke atas tanah wakaf ialah apabila pemilik tanah hanya membuat janji mulut untuk mewakafkan tanahnya tetapi selepas pemilik meninggal dunia, warisnya mempertikaikan kesahihan perkara tersebut.

Untuk mengatasi masalah ini, katanya, mereka yang ingin mewakafkan tanah akan diminta memfailkan dokumen rasmi dengan menyatakan hasratnya untuk mewakafkan tanah berkenaan,” kata Jamil Khir lagi.

Artikel Lain