suria

Dua Lagi Tertuduh Kes Khalwat 39 Orang Mengaku Salah

SHAH ALAM: Dua lagi remaja mengaku bersalah di Mahkamah Rendah Syariah di sini Rabu, atas kesalahan berkhalwat melibatkan 39 orang yang dicekup semasa sedang asyik melayan musik di sebuah bilik hotel di sini, pada awal pagi hujung tahun lalu.

Pengakuan salah Muhamad Uzair Bharudin dan Muhamad Khairil Izwan Mohamad Jamil sekaligus menjadikan jumlah keseluruhan mereka yang mengaku salah kepada 12 orang.

Muhamad Uzair kemudiannya diperintahkan untuk membayar denda RM2,500 atau penjara 60 hari manakala denda terhadap Muhamad Khairil Izwan ditetapkan pada jumlah RM2,000 atau 30 hari penjara, jika gagal membayar denda itu.

Hukuman dijatuhkan oleh Hakim Syarie, Saharuddin Selamat yang menerima pengakuan bersalah mereka yang dibuat tanpa syarat ataupun paksaan mana-mana pihak.

“Sebagai umat Islam, kita kena menunjukkan contoh yang baik kepada yang bukan Islam,” ujar Saharuddin pada penghakimannya.

Beliau juga menetapkan perbicaraan terhadap 27 lagi tertuduh yang mengaku tidak bersalah didengar pada 6 Oktober depan.

Sementara itu, ketidakhadiran seorang tertuduh, Noor Maria Mohammad Jamil pada prosiding lepas membawa padah selepas dia didenda RM200.

Dalam kes ini, 39 tertuduh termasuk tujuh wanita didakwa atas tuduhan berada bersama-sama dengan bukan muhrim dalam keadaan yang boleh menimbulkan syak sedang melakukan perbuatan tidak bermoral atau secara ringkasnya berkhalwat.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada pukul 2.10 pagi, 15 November 2009 di sebuah bilik di blok 4, Intekma Resort & Convention Centre, Persiaran Raja Muda, Seksyen 7, di sini.

Semua tertuduh berhadapan dengan hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara untuk tempoh tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan seperti yang diperuntukkan Seksyen 29(1)(a) untuk lelaki dan (b) untuk wanita di bawah Enakmen Jenayah Syariah Selangor.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Syarie dari Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Hasrul Hafisi Ahmad Kamal.

Artikel Lain