suria

Banci 2010 Akan Kenal Pasti 40 Peratus Rumah Berpendapatan Paling Rendah

KUALA LUMPUR: Bancian Penduduk dan Perumahan Malaysia (BPPM) kelima yang bermula hari ini berfungsi penting dalam mengenal pasti 40 peratus atau 2.4 juta isi rumah berpendapatan paling rendah di seluruh negara, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Katanya data-data yang dikumpul melalui banci ini akan digunakan untuk merangka dan melaksanakan dasar-dasar untuk memperkasa serta meningkatkan status ekonomi dan kualiti hidup golongan ini.

"Pertama sekali, kita perlu mengenal pasti mereka, siapakah mereka dan di manakah mereka berada. Selepas itu barulah kita adakan program yang bersesuaian dengan mereka," kataya pada sidang akhbar selepas melancarkan BPPM 2010 di sini pada Selasa.

Beliau berkata fokus ini selaras dengan matlamat kerajaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 dan menuju ke status negara maju, semua lapisan rakyat dapat menikmati kemakmuran pertumbuhan ekonomi dan sosial secara adil, sekaligus mengurangkan jurang perbezaan ekonomi antara golongan kaya dan miskin di negara ini.

Bancian kali ini akan berlangsung selama enam minggu sehingga 22 Ogos. Ia melibatkan kos sebanyak RM200 juta dan tenaga kerja 29,000 orang.

Pesuruhjaya Banci Datuk Wan Ramlah Wan Abdul Raof berkata kerja-kerja pembancian kali ini akan dilaksanakan menerusi tiga kaedah, termasuk melalui e-Census yang diperkenal buat pertama kali melalui laman www.statistics.gov.my.

Melalui kaedah ini, orang ramai boleh mengisi sendiri soal selidik secara dalam talian menggunakan butir-butir pengenalan yang dibekalkan oleh pembanci.

Dua kaedah lain ialah melalui temu ramah bersemuka yang biasa dilakukan dan melalui pengisian sendiri borang soal selidik oleh orang ramai dan kemudiannya dipungut oleh pembanci.

Laporan kiraan permulaan dijangka dapat dikeluarkan pada November tahun ini, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain