suria

Perlantikan Hakim Syarie Wanita Satu Peristiwa Bersejarah - Najib

PEKAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan perlantikan dua wanita sebagai Hakim Syarie itu sebagai satu peristiwa bersejarah bagi negara.

Beliau berkata, ia menunjukkan wanita di negara ini diberikan layanan sama rata dengan lelaki.

“Di dalam Islam pun, agama tidak membataskan wanita untuk maju ke hadapan.

“Malah, status mereka dilindungi,” katanya kepada pemberita selepas majlis pembukaan mesyuarat delegasi Umno Bahagian Pekan di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai perlantikan Suraya Ramli, 31 dan Rafidah Abdul Razak, 39, masing-masing dilantik sebagai Hakim Syarie di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Kuala Lumpur pada pertengahan Mei lalu.

Semalam, Najib dalam ucapannya yang dibacakan oleh penasihat agama kepada Perdana Menteri, Datuk Dr Abdullah Md Zain berkata perlantikan itu dilakukan bagi meningkatkan kepakaran berkaitan dengan kes-kes melibatkan hak keluarga dan wanita.

Mengenai sama ada terdapat rancangan untuk meningkatkan bilangan hakim Syarie Wanita di negeri lain, Najib berkata, ia bergantung kepada pihak berkuasa negeri kerana ia di bawah bidang kuasa majlis Islam negeri.

Artikel Lain