Bot Pancung Karam: Dua Mati Lemas, 15 Lagi Hilang - Semasa | mStar

Bot Pancung Karam: Dua Mati Lemas, 15 Lagi Hilang

PORT DICKSON: Dua orang termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun, mati lemas apabila sebuah bot pancung yang membawa 25 penumpang warganegara Indonesia karam dalam cuaca buruk awal hari ini kira-kira 12 batu Nautika dari perairan Port Dickson.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Supritendan Baljeet Singh berkata, mayat budak perempuan itu ditemui sebuah kapal dagang pukul 8 pagi manakala mangsa kedua seorang lelaki ditemui nelayan tempatan pada pukul 4.45 petang.

Lapan penumpang ditemui selamat manakala nasib 15 orang lagi tidak diketahui dengan gerakan mencari diteruskan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dalam kejadian pukul 3 pagi itu, katanya kepada pemberita di jeti penumpang di sini.

Beliau berkata kebanyakan mangsa yang selamat berpaut pada tong dan cebisan kayu bot mereka sebelum diselamatkan oleh sebuah kapal dagang, MV Kota Raya.

Katanya, polis tidak mengetahui bot pancung itu yang bertolak dari sebuah jeti di Banting, Selangor dan dalam perjalanan ke Dumai, Sumatera, dikendalikan sama ada oleh awak-awak tempatan atau Indonesia.

Lapan mangsa yang terselamat terdiri dari enam lelaki dan dua perempuan termasuk seorang wanita yang sedang mengandung, katanya.

Mangsa-mangsa yang terselamat ditempatkan di Hospital Port Dickson dan seorang lelaki yang sedang kritikal dihantar ke Hospital Seremban, katanya sambil menambah bahawa ada penumpang yang cedera akibat terkena minyak diesel yang panas dari bot pancung yang karam itu.

Sementara itu, seorang ibu berusia 29 tahun yang sedang sarat mengandung, Ajizah Kasimin berkata dalam keadaan ombak besar yang disertai hujan lebat, tiba-tiba bahagian belakang bot itu pecah dan beliau terhumban ke laut. Keadaan pada masa itu kelam kabut.

"Saya sempat berpaut pada sebuah tong minyak selama tiga jam sebelum diselamatkan oleh sebuah kapal dagang," katanya sambil menambah pada waktu itu beliau teringatkan anak lelakinya yang berusia 10 tahun di kampung serta bayi yang sedang dikandungnya.

Katanya beliau juga beberapa kali tertelan air laut bercampur minyak dan perutnya melecur akibat terkena minyak diesel panas.

Ajizah yang sedang hamil lapan bulan berkata beliau berasa tertipu selepas membayar RM1,000 untuk balik ke Indonesia dari Banting selepas melihatkan sebuah bot pancung yang tidak selesa dan kurang selamat.

Seorang lagi mangsa yang terselamat yang dikenali sebagai Iwan, 23, berkata sebelum kejadian itu beliau berasa tidak sedap hati kerana ombak sangat kuat dengan bot terumbang ambing.

"Apabila bot karam, saya dan ramai penumpang lain dihanyutkan arus. Saya hanya mampu berdoa supaya terselamat dari bencana itu," katanya.

Katanya semasa berpaut pada sebuah tong minyak, di atas permukaan air yang gelap, sayup-sayup beliau terdengar suara orang meminta tolong sehinggalah diselamatkan oleh kapal dagang MV Kota Raya.

Kebanyakkan mangsa yang ditemui menyangka mereka akan menaiki sebuah feri kerana bayaran yang dikenakan dari RM500 sehingga RM1,000.

Artikel Sebelum

Bot Karam: Dua Tekong Direman

Artikel Berkaitan

Artikel Lain

Neymar terus kekal di PSG?