suria

Akta Dipinda Selepas Terima Maklum Balas: Subramaniam

KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia masih menunggu maklum balas semua pihak berkaitan meminda Akta Pekerja, Akta Perhubungan Perusahaan dan Akta Kesatuan.

Menterinya Datuk Dr S.Subramaniam berkata, pindaan akta berkenaan masih dibincangkang dalam satu jawatankuasa khas yang ditubuhkan baru-baru ini.

Jawatankuasa tersebut dianggotai tiga wakil dari Kementerian Sumber Manusia, tiga dari Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan tiga lagi dari Persekutuan Kebajikan Malaysia.

"Apa-apa isu dan pandangan perlu diberikan kepada jawatankuasa ini supaya kami dapat mengkaji pandangan dan maklum balas tersebut sebelum dibuat pindaan dan dibentangkan di kabinet," katanya kepada pemberita pada majlis Pelancaran Kempen Antiragut 1Malaysia anjuran Biro Sosial dan Kebajikan MIC Kebangsaan di tol Sungai Besi di sini.

"Jawatankuasa tersebut adalah satu permintaan daripada MTUC sendiri...jadi sepatutnya semua pandangan hendaklah melalui saluran ini dan bukannya menerusi persatuan sekerja dan pekerja," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan MTUC semalam yang meminta semua kesatuan sekerja dan pekerja di negara menolak cadangan meminda ketiga-tiga akta kerana didakwa akan menindas golongan itu.

Mengenai kes ragut, Subramaniam berkata walaupun jumlah kes itu kian berkurangan, namun ia masih di tahap menbimbangkan dan satu pendekatan yang serius harus diambil bagi menanganinya.

"Satu tindakan yang sewajarnya perlu diambil bagi meningkatkan kesedaran sivik mengenai implikasi kes ragut menerusi ceramah, pengedaran risalah dan pelekat," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain