suria

Pencarum Kurang Upaya Bakal Dapat Manfaat Dari Perkeso

KUALA LUMPUR: Pencarum kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang kurang upaya kini berpeluang kembali ke tempat kerja apabila sebuah pusat rehabilitasi yang dibina di Melaka, siap sepenuhnya pada 2013.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Maznah Mazlan berkata, pencarum kurang upaya boleh menjalani sesi pemulihan fisioterapi dan psikologi di pusat berkenaan di samping menjalani kaedah rawatan yang dikenali sebagai "Kembali ke Tempat Kerja".

"Apabila siap, ia (pusat) akan menjadi satu kompleks untuk satu negara dan berfungsi seperti sebuah hospital yang menggunakan khidmat pakar fisioterapi dan psikologi.

"Ia dibina di atas tanah seluas 51 ekar di Hang Tuah Jaya, Alor Gajah Melaka," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan mesin haemodialisis di Wisma MAA Medicare, di sini hari ini.

Pada majlis hari ini, Pertubuhan Malaysian Assurance Association (MAA) Medicare Kidney Charity Fund menerima enam buah mesin haemodialisis dari Perkeso. "Setakat ini, 289 buah mesin dengan kos RM11.2 juta telah dibelanjakan oleh Perkeso, dan hari ini Perkeso telah menyumbang enam buah mesin yang bernilai RM240,000 kepada tiga buah pusat MAA Medicare Charity Fund di Jalan Ipoh, Kajang dan Kota Bharu," katanya.

Sehingga ini juga, kata beliau, sejumlah RM53 juta telah dibelanjakan oleh Perkeso bagi membantu pekerja yang dicarumkan di bawah pertubuhan itu. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain