suria

Polis Tumpas Sindiket Edar Dadah Di Johor

JOHOR BAHARU: Polis Johor berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah di bandar raya ini dengan penahanan empat lelaki termasuk dua warga asing dalam satu serbuan di sebuah rumah di Jalan Mariammah, di sini, dua hari lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Johor, ACP Kamarudin A. Aziz berkata, kesemua lelaki itu ditahan pada pukul 2.20 petang dengan beberapa jenis dadah dipercayai bernilai RM166,000.

"Dadah yang dirampas adalah ganja seberat 3.8 kilogram (kg), syabu (574 gram), heroin (222 gram) dan 10 biji pil eramin 5," katanya di sini hari ini.

Kamarudin menambah, polis turut menemui sepucuk pistol tiruan jenis High Accuracy P.729 buatan China beserta satu kelopak peluru dan 39 kelongsong peluru kosong.

Polis juga, katanya turut menyita harta milik kesemua suspek berusia antara 35 hingga 46 tahun termasuk wang tunai RM65,500, lima kereta mewah bernilai RM320,000 dan beberapa peralatan berjumlah RM2,000.

Kamarudin berkata, ujian air kencing ke atas keempat-empat suspek mendapati kesemuanya positif dadah jenis morfin dengan seorang daripada mereka dikesan mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan kes dadah.

Kesemua suspek ditahan reman sehingga Ahad ini untuk membantu siasatan.

Dalam kes berasingan, seorang lelaki berusia 37 tahun ditahan kerana disyaki mengedar dadah di sebuah bilik hotel di Jalan Dato' Abdullah Tahir, di sini pukul 7.15 malam 11 Jun lalu.

Lelaki yang menganggur itu, kata Kamarudin ditahan bersama 64 biji pil ecstasy, 1.92 gram ketamin, enam biji pil eramin 5, 3.22 gram heroin dan 15.49 gram syabu.

Jelas Kamarudin, polis juga merampas sepucuk pistol tiruan jenis YT 38 buatan China beserta satu kelopak tanpa peluru daripada lelaki itu.

"Ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis syabu dan dipercayai bergiat aktif mengedar dadah di sekitar bandar raya ini," katanya.

Artikel Lain