suria

Kastam Guna Vapor Tracer Kesan Dadah

PUTRAJAYA: Kastam Diraja Malaysia (KDRM) bakal menggunakan alat 'Vapor Tracer' yang berupaya mengesan walau sekecil hablur dadah di tubuh atau barangan yang dibawa suspek sekaligus mampu mengekang kegiatan penyeludupan dadah dengan lebih hebat dan berkesan.

Timbalan Pengarah KDRM Cawangan Narkotik, Subri Awang berkata, alat berkenaan lebih praktikal digunakan kerana ia mudah dibawa ke mana sahaja dan dipercayai boleh mengambil alih peranan anjing pengesan dalam operasi pencegahan.

"Alat ini terbukti berkesan kerana sebanyak 3,000 unit telah pun digunakan di beberapa negara seperti Hong Kong, Australia dan Amerika Syarikat.

"KDRM menjadi agensi pertama menggunakan alat ini dan kami percaya ia lebih memudahkan pihak kami untuk menjalankan tugas membanteras aktiviti penyeludupan dadah di dalam negara yang semakin berleluasa," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan alat pengesan tersebut oleh pihak pembekal, Hadid Engineering (M) Sdn Bhd kepada KDRM di sini hari ini.

Subri berkata, Vapor Tracer juga dapat mengesan sebarang objek dengan mudah dan cepat dalam tempoh lapan saat tanpa mengganggu penumpang penerbangan.

Beliau berkata, sebagai permulaan sebuah unit alat pengesan berkenaan akan diuji keberkesanannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bermula hari ini.

Selain KLIA, beliau berkata, Vapor Tracer yang bernilai kurang daripada RM200,000 seunit itu juga akan ditempatkan di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) dan Pelabuhan Klang.

"Pihak berkuasa akan menggunakan alat ini untuk memeriksa di bahagian yang kerap digunakan dan disentuh oleh manusia seperti di stereng kereta atau kepingan tiket tanpa mengganggu penumpang," kata Subri. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain