suria

Kyrgyzstan Mohon Bantuan Kemanusiaan Daripada Malaysia

KUALA LUMPUR: Kerajaan sementera Kyrgyzstan memohon bantuan kemanusiaan dan sokongan daripada Malaysia bagi meringankan bebannya dalam menghadapi keadaan kacau-bilau dan pertempuran di bahagian selatan negara itu.

Dutanya ke Malaysia Dr Bakir Uulu Tursunbay berkata walaupun kerajaan negara itu telah berusaha sedaya upaya, namun ia amat mengharapkan bantuan kemanusian segera dihulurkan bagi meringankan penderitaan yang dihadapi kira-kira dua juta orang yang terjejas akibat kekacauan yang melanda dua wilayah di selatan negara itu.

Katanya republik itu amat memerlukan makanan, tepung, ubat-ubatan, peralatan perubatan dan peralatan bagi membolehkan agensi keselamatan menguatkuasakan undang-undang dan memulihkn ketenteraman.

Beliau berkata kedutaan negara itu di sini akan menyerahkan surat berhubung permintaan itu kepada Kementerian Luar Malaysia esok.

"Hari ini, Kyrgyzstan berada dalam keadaan yang amat perit...kami percaya, sebagai negara Islam seperti kami dan atas semangat persaudaraan Islam, kerajaan Malaysia akan menghulurkan bantuan," kata Bakir kepada Bernama dalam temu bual melalui jurubahasa di pejabatnya di sini hari ini.

Beribu-ribu orang, kebanyakannya kanak-kanak, wanita dan orang tua, telah melarikan diri ke Uzbekistan, yang berjiran dengan negara itu bagi menyelamatkan diri daripada menjadi mangsa dalam pergaduhan etnik antara kaum Kyrgyz dan Uzbeks.

Bakir berkata hanya dua wilayah di negara yang mempunyai 5.2 juta penduduk itu dilanda kekacauaan - Osh dan Jalalabad.

Ditanya tentang nasib rakyat Malaysia di negara itu, beliau berkata sekiranya terdapat rakyat Malaysia di sana, mereka pasti selamat kerana lima wilayah lain dan ibu negara Kyrgyzstan, Bishkek, tidak dilanda kekacauan.

Katanya beliau yakin kerajaan sementara negaranya akan meneruskan rancangan untuk mengadakan pungutan suara bagi menggubal perlembagaan baru pada 27 Jun ini kerana ia penting bagi menjamin kestabilan negara itu. - BERNAMA

Artikel Lain