suria

Pelayan Restoran Warga India Mati Ditembak Dari Jarak Dekat

PETALING JAYA: Seorang pelayan restoran warganegara India mati selepas ditembak dari jarak dekat oleh individu yang tidak dikenali dalam satu kejadian di Kota Damansara di sini tengah malam semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Supt. Abd Razak Eliyas berkata, ketika kejadian lelaki berusia 30an itu dipercayai dalam perjalanan pulang ke asramanya yang terletak selang dua pintu daripada tempat dia bekerja.

"Hasil pemeriksaan berdasarkan rakaman kamera litar tertutup di premis itu mendapati seorang suspek yang lengkap memakai topi keledar bertutup penuh, dipercayai sudah menunggu kepulangan mangsa kira-kira 15 minit lamanya.

"Sebaik sahaja melihat kelibat mangsa, suspek yang berdiri berhampiran tangga menuju ke tingkat atas asrama terus melepaskan satu das tembakan mengenai bahagian perut mangsa dan kemudian melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta Proton Perdana hitam yang menunggu di tepi jalan," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini semalam.

Beliau berkata, mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh dengan kecederaan parah di perut dan disahkan mati pada pukul 1.30 pagi.

Beliau berkata, polis menemui satu kelongsong peluru 9mm di tempat kejadian dan percaya dendam adalah motif pembunuhan lelaki tersebut yang baru empat bulan bekerja di restoran berkenaan.

"Kami juga percaya kejadian itu sudah dirancang awal serta tidak menolak wujud pembunuh upahan, namun siasatan masih lagi dijalankan," katanya.

Polis kini memburu suspek bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - BERNAMA

Artikel Lain