suria

PM Seru Asean Tingkat Hubungan Dengan Russia Dan Amerika

KUALA LUMPUR: Asean perlu mengkaji semula, dan sentiasa menyelaras cara ia mengendalikan hal ehwalnya dalam usaha untuk berfungsi dengan lebih berkesan dan cekap bagi menghadapi cabaran dalam lanskap strategik global yang sentiasa berubah, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata, Asean juga perlu mencari jalan bagi meningkatkan penyertaan Russia dan Amerika dalam agenda reka bentuk pembangunan serantaunya.

"Ia diperlukan selaras dengan peningkatan pentingnya Amerika yang menjadi pelengkap kepada orde rantau Asia Pasifik, manakala aspek geografi Russia pula menjadikan ia sebagai pihak utama dalam dalam perkembangan hal ehwal rantau itu," katanya semasa menyampaikan ucaptama pada persidangan Meja Bulat Asia Pasifik ke-24 di sini hari ini.

Turut hadir dalam persidangan tiga hari anjuran Asean-Institut Strategik dan Kajian Antarabangsa (Asean-Isis), sebuah rangkaian kerja kumpulan pemikir ternama di Asia Tenggara itu ialah Raja Muda Perak Raja Nazrin Shah.

Najib berkata, peningkatan dalam pentingnya pembabitan kedua-dua negara ini dalam reka bentuk pembangunan di rantau Asia Pasifik dilihat lebih ketara kini memandangkan Washington akan terus melebarkan pengaruhnya aspek ekonomi, politik dan kebudayaan masa depan.

"Moscow pula dengan gigih sedang meningkatkan hubungan dua hala dengan banyak negara, yang merupakan satu perkembangan yang amat dialu-alukan oleh negara-negara serantau," katanya. Najib berkata, potensi hubungan Russia dan Amerika buat negara-negara Asia Tenggara juga tambah ketara sebagaimana yang digambarkan dalam Sidang Kemuncak Asean di Hanoi baru-baru ini, di mana isyarat yang benar-benar jelas diutarakan bagi menggalakkan Russia dan Amerika supaya mengukuhkan pembabitan mereka dalam membentuk perubahan rantau Asia Tenggara.

Beliau berkata, kedua-dua negara itu turut memenuhi keperluan rasmi untuk terbabit dalam Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS).

"Mereka menandatangani Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama, menjadi rakan dialog Asean, dan memiliki hubungan kerjasama yang cukup akrab dengan pelbagai negara secara terus dan pertubuhan-pertubuhan tertentu," katanya.

Najib turut menggesa negara peserta persidangan itu untuk menimbangkan cara bagaimana pembabitan Russia dan Amerika di rantau ini boleh direalisasikan.

Merujuk kepada reka bentuk pembangunan rantau Asia Pasifik, Perdana Menteri menegaskan bahawa ia harus dilihat sebagai satu siri lingkaran berpusat dengan Asean terletak di tengah-tengahnya, diikuti dengan Asean Plus Three (APT) dan EAS, di mana mereka mewakili evolusi dan peningkatan kematangan dalam kerjasama di rantau Asia Pasifik. "Bagi Asia Tenggara, reka bentuk pembangunan serantau akan terus menjadi langkah yang dilaksanakan secara berterusan. Kami akan berusaha menyepadukan manfaat penting yang dihasilkan menerusi Asean dan APT," katanya.

"Pada masa yang sama, kami akan membangunkan EAS sebagai ruang untuk kerjasama dengan lingkaran lebih besar di rantau yang lebih luas," menurutnya.

Persidangan yang tamat semalam dihadiri oleh kira-kira 250 peserta dari rantau Asia Pasifik yang terdiri daripada para perwakilan, ahli akademik dan NGO. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain