suria

Harga Minyak Tinggi Tidak Wajar Ancam Pemulihan Ekonomi

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ketidakwajaran harga minyak yang tinggi akan mengancam pemulihan ekonomi global yang rapuh sambil mengancam kestabilannya.

Perdana Menteri berkata, sekali pun Malaysia berusaha meningkatkan ketahanan sebagai satu negara perdagangan utama, kemakmuran negara ini tidak dapat dielakkan terikat dengan keadaan dan kestabilan ekonomi global.

"(Sekaligus) kita tidak boleh membenarkan penetapan satu paras harga minyak yang sepatutnya, mengalihkan perhatian kita dari tanggung jawab yang lebih besar bagi memastikan ia tidak mengalihkan kita dari keadaan pasaran dan ekonomi yang sebenar," katanya.

Harga minyak telah meningkat dengan tetap kepada sekitar US$80 setong sejak Jun lepas - yang merupakan satu peras yang tidak pernah dilihat sejak 18 bulan lepas. Pengukuhan itu berlaku walaupun pertumbuhan permintaan dicatatkan agak sederhana, khususnya di kalangan negara-negara OECD manakala bekalan global yang menurut OPEC kekal mencukupi.

"Tidak dapat dinafikan bahawa ketidakseimbangan antara harga dan fundamental bekalan atau permintaan, telah meningkatkan persoalan sama ada pasaran minyak telah meruap," katanya pada Persidangan Minyak dan Gas Asia tahunan ke-15 di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis perasmian itu ialah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Datuk Shamsul Azhar Abbas.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata sesetengah pihak akan melihat kenaikan minyak semasa dan permintaan, sebagai sederhana dan mencukupi yang mewajarkan harga baharu yang lebih tinggi.

"Sungguh pun begitu, adanya pihak yang mengatakan minyak tidak semata-mata menjadi sumber tenaga, harga yang lebih tinggi mencerminkan keadaan sebagai satu komoditi, ia kini menjadi aset kewangan yang sememangnya dicari-cari.

"Sesungguhnya, adalah baik diambil ingatan, walau pun berlaku kemelesetan, kos industri terus kekal tinggi mengikut standard sejarah.

"Walau apa pun pandangan kita mengenai apa yang merangkumi paras harga yang wajar, kita boleh pasti bahawa harga, walau pun pada paras ini, akan mengalami tekanan semula apabila lajakan pemulihan terus meningkat," katanya.

Menurut Najib, bagi tempoh jangka panjang, trend pertumbuhan penduduk, urbanisasi dan perindustrian di negara baru muncul, akan terus menunjang pertumbuhan kukuh di segi permintaan mendapatkan tenaga.

Di dalam keadaan sedemikian, satu respons bekalan yang mencukupi adalah pnenting jika kestabilan pasaran hendak dipulihkan semula.

"Satu pemahaman yang lebih meluas perlu bagi pasaran kewangan yang bertujuan mencegah manipulasi harga, jika ia mendorong kepada penetapan harga yang efisien dan kukuh," katanya.

Kerajaan pada satu pihak, katanya perlu mengambil inisiatif untuk mewujudkan lebih banyak persekitaran yang kondusif dan mengesahkan semula komitmen untuk melaksanakan ketelusan serta fungsi pasaran sebagai penjamin jangka panjang yang ideal atau keselamatan tenaga.

"Kerajaan juga perlu mewujudkan dasar tenaga kebangsaan yang jelas dan tegas yang dapat membantu mengurangkan pelbagai jangkaan permintaan pada masa depan.

Dasar sedemikian perlu berpijak pada keadaan ekonomi sebenar dan bagi menuju ke hadapan," katanya.

Katanya, satu komitmen pelbagai hala yang awal untuk mencapai satu strategi global bagi pemindahan kepada satu ekonomi karbon yang rendah juga baik bagi mengisi jangkaan cepatnya pertumbuhan permintaan bagi mendapatkan tenaga pada masa depan dan perubahan di segi bekalan. - BERNAMA

Artikel Lain