suria

Syed Hamid Pengerusi SPAD, Mohd. Nur Ismal CEO

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Syed Hamid Albar hari ini dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Mohd. Nur Ismal Mohamed Kamal sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) suruhanjaya itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengumumkan berkata, pelantikan Syed Hamid dan Mohd Nur Ismal itu berkuat kuasa pada Khamis lepas, iaitu tarikh suruhanjaya tersebut ditubuhkan.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri, Perdana Menteri juga akan melantik pesuruhjaya-pesuruhjaya lain bagi menganggotai suruhanjaya itu.

"Bagaimanapun pengumuman tentang pelantikan-pelantikan tersebut akan dibuat pada waktu yang akan ditentukan kemudian,” tambah kenyataan itu.

Suruhanjaya itu ditubuhkan setelah Akta Suruhanjaya Pengangkutan Awam 2010 dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 diluluskan dalam sesi Parlimen lepas.

SPAD akan memainkan peranan utama dalam meningkatkan sistem pengangkutan awam negara yang merupakan salah satu daripada Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) yang telah ditetapkan kerajaan.

Suruhanjaya itu yang terletak di bawah pemantauan Perdana Menteri akan membawa hampir semua aspek berkaitan pengangkutan darat di Malaysia, pentadbiran satu badan induk, bermula dengan pengangkutan awam di Semenanjung Malaysia pada peringkat permulaannya dan pengangkutan awam di Sarawak dan Sabah di peringkat berikutnya.

Kenyataan itu menyebut objektif utama penubuhan suruhanjaya itu adalah bagi membentuk dasar-dasar berkaitan pengangkutan awam, mengawal selia dan merancang perkhidmatan rel, bas dan teksi serta pengangkutan barangan melalui rel dan jalan raya.

Bagi menjayakan objektif itu, SPAD akan mengambil alih fungsi-fungsi beberapa agensi kerajaan seperti Jabatan Keretapi Malaysia, Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) serta fungsi Pesuruhjaya Pelancongan dalam urusan perlesenan bas-bas pelancongan. – BERNAMA

Artikel Lain