suria

Dua Beradik Perlu Jalani Terapi Pulihkan Ketidakseimbangan Otot

ALOR SETAR: Sejak berusia tiga tahun, kehidupan Mohd Faizal Mohd Rahim, 9, dan adiknya Mohd Firdaus, 7, tidak seperti kanak-kanak yang lain berikutan penyakit ketidakseimbangan otot yang menyebabkan seluruh tubuh mereka menjadi lemah.

Kini kedua-dua beradik dari Kampung Alor Madi di sini itu memerlukan rawatan segera bagi memulihkan penyakit mereka supaya ia tidak melarat ke tahap yang lebih teruk.

Ibu kanak-kanak itu Muslina Zainol Abidin, 44, berkata semasa dilahirkan anak-anaknya tidak mempunyai masalah dan keadaan mereka normal seperti kanak-kanak lain.

"Saya mula perasan perubahan anak-anak saya sejak mereka berusia tiga tahun kerana mereka kerap jatuh apabila berjalan," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Beliau menghantar anaknya ke hospital untuk mendapatkan rawatan dan kedua-duanya dikesan mengidap penyakit itu.

"Sekarang ini anak-anak saya perlu menjalani terapi tiga bulan sekali kerana mereka tidak boleh berlari, memanjat ataupun melompat. Kalau mahu berjalan, mereka perlu memegang sesuatu seperti kerusi," katanya.

Muslina berkata pendapatan suaminya kira-kira RM500 sebulan tidak dapat menanggung kos rawatan dan menyediakan makanan berkhasiat kepada anak-anaknya.

"Suami hanya bekerja sebagai pembantu kedai dan saya pula hanya suri rumah," katanya sambil menyatakan bahawa kedua-dua anaknya itu bersekolah di Sekolah Pendidikan Khas Taman Aman di sini.

Penderitaan Musina itu mendapat perhatian Lembaga Pelawat Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) yang berusaha membantu kedua-dua beradik itu.

Pengerusinya Ramli Mohd Yunus berkata menerusi Program Khidmat Komuniti Lembaga Pelawat HSB, pihaknya menyalurkan bantuan selepas menerima penilaian daripada pihak hospital tentang penyakit kedua-dua beradik itu dan apabila dikaji mereka perlu rawatan segera.

"Pihak lembaga akan memberi bantuan seperti menanggung kos rawatan untuk terapi dan pengangkutan serta turut membekalkan makanan berkhasiat kepada kedua-dua beradik itu," katanya.

Beliau berkata jika perkara itu tidak diambil serius, kedua-dua beradik itu berkemungkinan besar akan lumpuh dan hanya mampu bergerak menggunakan kerusi roda. - BERNAMA

Artikel Lain