suria

MAYC Kutuk Serangan Israel Terhadap Sukarelawan Ke Gaza

KUALA TERENGGANU: Persatuan Kelab-kelab Belia Malaysia (MAYC) Terengganu mengutuk tindakan zalim rejim zionis menyerang kapal yang sedang dalam pelayaran untuk menghantar bantuan kepada rakyat Palestin di Gaza.

Pengerusinya, Abdul Karim Mohamad berkata, MAYC Terengganu merasakan tindakan Israel itu amat kejam dan biadap selain mencabuli undang-undang antarabangsa serta melanggar hak asasi manusia.

"Tindakan kejam mereka membuka pekung mereka sendiri yang selama ini tidak mendapat liputan dunia yang menunjukkan siri kekejaman zionis terhadap umat Islam di Semenanjung Gaza," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata, MAYC Terengganu berharap agar kerajaan Malaysia menggesa Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) supaya mengambil tindakan ke atas kekejaman negara Yahudi itu.

Katanya, MAYC Terengganu merasakan sudah sampai masanya umat Islam kembali bersatu.

Beliau berkata, MAYC Terengganu berharap keluarga mangsa sukarelawan terlibat termasuk dari negara ini dapat bersabar dengan apa yang berlaku.

Abdul Karim berkata, MAYC Terengganu juga akan mengadakan kempen mengumpul tandatangan orang ramai sebagai membantah tindakan kejam Israel pada Isnin ini bertempat di Wisma Seri Amar, di sini.

Dalam kejadian dua hari lepas, kapal Turki yang membawa bekalan keperluan asas seperti makanan, ubat-ubatan dan bahan binaan telah diserang tentera Israel di perairan antarabangsa mengakibatkan 19 orang dilaporkan terkorban manakala 30 lagi cedera.

Dua belas 12 sukarelawan yang berada di atas kapal itu adalah rakyat Malaysia. - BERNAMA

Artikel Lain