suria

Pemimpin Agama Perlu Main Peranan Dalam Memupuk Keamanan - Raja Nazrin

KUALA LUMPUR: Pemimpin keagamaan dalam dunia globalisasi hari ini tidak harus terbatas kepada soal berdakwa sahaja malah mereka perlu memainkan peranan memupuk keamanan dan pembangunan.

Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah berkata: "Jika pemimpin setiap agama boleh digerakkan untuk memperkukuhkan fabrik keamanan masyarakat dan syarat pembangunan, maka mereka akan menjadi kuasa mantap untuk mewujudkan sebuah dunia yang lebih baik."

"Kami menggesa pemimpin agama supaya menyokong inisiatif yang boleh membentuk kesedaran, memupuk persefahaman dan dialog antara pelbagai masyarakat, kepercayaan keagamaan dan kebudayaan." katanya.

Raja Nazrin berkata demikian sebagai wakil khas Malaysia pada dialog antara agama dan peradaban pada Forum Pakatan Peradaban Ketiga di Rio De Janiero, Brazil, pada Sabtu.

Teks ucapanya dikeluarkan di sini semalam.

Raja Nazrin berkata pemimpin keagamaan memainkan peranan sebagai pemangkin dalam menggalakkan lebih banyak kerjasama dalam menyokong objektif mulia dalam mengekalkan keamanan bagi membolehkan negara-negara mengusahakan pembangunan demi kesejahteraan rakyat.

"Bersama mereka perlu menggalakkan keamanan dan pembangunan, menggalakkan dialog dan meningkatan interaksi," katanya.

Raja Nazrin berkata pemimpin keagamaan secara terbuka dan berani menggesa pemimpin mereka sendiri serta orang lain dalam komuniti masing-masing supaya mengamalkan etika sejagat "kita hanya melakukan sesuatu kepada orang lain seperti apa yang kami mahu mereka lakukan kepada kami."

"Maka terdapat kekurangan pembunuhan orang yang tidak berdosa, pencerobohan negara asing dan pendudukan haram ke atas tanah orang lain," jelasnya.

Katanya penggunaan kekerasan dan persenjataan hanya boleh dibenarkan dalam mempertahankan kawasan dan pemilikan selepas rundingan secara damai tidak tercapai.

"Ini adalah ajaran Islam dan banyak agama lain serta prinsip asas undang-undang antarabangsa yang moden," ujarnya.

"Sudah lama pemimpin keagamaan yang bagus kekal di sebalik tabir dalam hal hal-ehawal negara dan global. Sudah tiba masa untuk mereka melangkah ke depan supaya suara mereka kedengaran dan pengaruh mereka dirasai," katanya.

Raja Nazrin berkata terdapat keperluan untuk pemimpin keagamaan untuk menangani isu-isu keagamaan secara rasional serta prihatin terhadap suasana sensitif dan semua kerumitan yang menyusul dengan isu-isu itu.

"Terdapat juga keperluan seimbang bagi pemimpin keagamaan mengelak daripada menyebarkan sebarang bentuk perlakuan ekstremis dan memupuk rasa kebencian, ketidakpercayaan dan tidak bertolak ansur berdasarkan prasangka keagamaan.

"Oleh itu amat penting bagi pemimpin keagamaan mengelak daripada mempolitikkan isu-isu sensitif," jelasnya.

Raja Nazrin menjelaskan pemimpin keagamaan yang terpesong kadang-kadang bukan sahaja menjadi musuh dan halangan kepada keamanan malah secara sengaja atau tidak menghalang pembangunan manusia.

Menyentuh Malaysia, katanya, dasar menerima kepelbagaian amalan agama di sebalik menekan sebarang kumpulan keagamaan telah memberi sumbangan besar kepada pembinaan sebuah negara yang aman dan bersatu padu.

"Pengalaman Malaysia dalam menerima kepelbagaian agama telah mempertingkatkan perpaduan nasional dalam masyarakat pelbagai budaya," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain