suria

Anggota Polis Dan Dua Anaknya Terbunuh Dalam Kemalangan Di Gerik

GERIK: Tiga beranak terbunuh manakala dua lagi cedera parah apabila kereta yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan dengan sebuah bas persiaran di Km 14 Jalanraya Timur-Barat Gerik-Jeli dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Gerik Supritendan Mahad Nor Abdullah berkata yang terbunuh dalam kejadian kira-kira pukul 7.15 petang itu ialah pemandu kereta Mohd Zin Awang, 50, serta dua anak perempuanya Fazeera, 19, dan Fazreen, 13.

Beliau berkata isteri Mohd Zin, Fazalawati Addullah, 48, dan seorang lagi anak lelakinya Hashim, 4, mengalami cedera parah di kepala.

"Mohd Zain yang berpangkat Koperal dan bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perak bersama dua anaknya meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala, dan mayat mereka dihantar ke Hospital Gerik untuk bedah siasat," katanya kepada pemberita hari ini.

Menurutnya Fazalawati dan anak lelakinya Hashim yang mengalami cedera parah di kepala dirawat di Hospital Gerik, sebelum dipindahkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, untuk rawatan lanjut.

Mahad Nor berkata kejadian berlaku semasa kesemua penumpang kereta Vios itu yang berasal dari dari Taman Ria, Sungai Petani, Kedah; sedang dalam perjalanan dari Gerik menuju ke Jeli, apabila ia dikatakan cuba memotong sebuah kereta di hadapanya tetapi gagal, mengakibatkan ia bertembung dengan sebuah bas persiaran dari arah bertentangan ketika hujan lebat.

Akibat kejadian kereta itu remuk di bahagian hadapan, dan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Gerik terpaksa bertungkus lumus untuk membawa keluar semua penumpang yang tersepit dalam kereta itu.

Kesemua mayat sudah dituntut oleh keluarga awal pagi ini di Hospital Gerik sebelum dibawa balik kerumah mereka di Sungai Petani untuk dikebumikan.

Bas persiaran yang membawa 31 penumpang itu dikatakan dalam perjalanan ke arah Jeli selepas menghadiri majlis perkahwinan di Kangar, Perlis, dan pemandu bersama 31 penumpangnya tidak mengalami sebarang kecederaan.

Sementara itu dalam insiden berasingan seorang warga Indonesia maut dan tiga yang lain mengalami cedera ringan dalam dua kemalangan berasingan di Seri Manjung awal pagi ini dan petang semalam.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner (ACP) Mohd Jamil Osman berkata dalam kejadian pukul 4 pagi ini seorang warga Indonesia yang hanya dikenali sebagai Maria, 34, maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas dan merempuh tiang lampu di bahu jalan di Batu 4, Jalan Sitiawan-Lekir.

Beliau berkata mayat Maria dibawa ke Hospital Seri Manjung untuk bedah siasat.

Dalam kejadian petang semalam pula Darul Nizam Din, 31, dari Sungai Baru, Pantai Remis bersama-sama isteri dan anaknya mengalami cedera ringan apabila kereta yang dipandu Darul Nizam dirempuh sebuah bas persiaran di Kilometer 23, Jalan Damai Laut Batu-Hampar di sini.

"Siasatan awal polis mendapati kereta jenis Proton Iswara dipandu Darul Nizam yang dalam perjalanan dari Pantai Remis ke Seri Manjung dipercayai dirempuh oleh sebuah bas persiaran dari arah Lumut ke Parit Buntar," katanya.

Beliau berkata kejadian berlaku apabila bas yang membawa 29 peserta kursus Pemimpin Kaliber anjuran Jabatan Belia dan Sukan Daerah Larut Matang dan Selama itu dikatakan cuba mengelak sebuah kereta di hadapan yang mahu memasuki satu simpang. - BERNAMA

Artikel Lain