Pelatih PT Meninggal Dunia Akibat Jangkitan Paru-paru - Semasa | mStar

Pelatih PT Meninggal Dunia Akibat Jangkitan Paru-paru

KUALA LUMPUR: Seorang pelatih Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) meninggal dunia pagi Isnin di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang akibat jangkitan paru-paru semasa menjalani latihan anjuran Institut Tadbiran Awam Negara.

Norhashimah Wahid, 31, disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 6.35 pagi tadi selepas menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi HTAR setelah koma sejak Jumaat lepas.

Jenazahnya disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Keramat di sini selepas solat Zohor.

Allahyarham yang merupakan anak bongsu daripada empat beradik meninggalkan suami, Ahmad Zulkhairi Zainal Abidin, 31, dan seorang anak perempuan Nur Hylda Daenia, dua tahun.

Allahyarham sedang mengikuti latihan Modul Jati Diri di Jugra, Banting, selama tujuh bulan sebelum disahkan jawatan sebagai PTD dan telah tiga bulan mengikuti latihan itu.

Sebelum kejadian, Norhashimah yang bertugas di Kementerian Kewangan, Putrajaya, mengadu tidak sihat, tetapi beliau terpaksa mengikuti latihan tersebut.

Ibunya, Norlia Rashid, 61, bahawa berkata sejak Ahad lepas kesihatan Norhashimah tidak begitu baik tetapi dia tetap mahu pulang ke kem untuk menjalani latihan seperti biasa.

Tentera Udara Diraja Malaysia pula menafikan laporan media kononnya latihan itu di bawah kendalian dan seliaan Pasukan Khas Udara TUDM.

"Latihan itu bukan di bawah kelolaan kami atau mana-mana unit di bawah naungan TUDM, sebaliknya ianya dikelolakan sepenuhnya oleh agensi lain yang tidak mempunyai sebarang kaitan dengan TUDM," kata satu kenyataan TUDM.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berkata ia sedang menjalankan siastan lanjut mengenai perkara itu.

Jabatan itu turut mengucapkan takziah kepada keluarga Norhashimah. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Lebih Artikel

MMA cabar ego Zul Ariffin

'Rapunzel' tak potong rambut 28 tahun