suria

Petugas JKM Temui Warga Emas Mati Di Rumah

KUANTAN: Seorang warga emas ditemui mati oleh petugas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang, yang berkunjung ke rumahnya untuk menyampaikan bantuan bulanan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Supritendan Zulkifli Taha berkata, Minah Ismail, 91, ditemui telah meninggal dunia di bawah pondok sebelah rumahnya di Kampung Jawa pada 12.30 tengah hari tadi.

"Wanita itu tinggal berseorangan di rumah tersebut sejak 30 tahun lalu, tidak mempunyai keluarga dan bekerja sebagai penjual telur itik di Pasar Besar Kuantan.

"Mayatnya ditemui dalam keadaan berulat dan sudah mengeluarkan bau selain kulit kepalanya didapati sudah tertanggal mungkin disebabkan mereput kerana telah lama meninggal dunia," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata, mangsa dipercayai meninggal dunia sejak seminggu lepas dan punca kematian masih disiasat.

"Kita turut menyiasat sekiranya terdapat unsur-unsur jenayah," katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan untuk bedah siasat. - BERNAMA

Artikel Lain