suria

PGM Tahan Anggota "Din Busut" Aktif Curi Bot, Enjin Nelayan Di Pengerang

KOTA TINGGI: Pasukan Gerakan Marin (PGM) Wilayah Dua hari ini menahan lima lelaki dipercayai anggota kumpulan "Din Busut" yang aktif mencuri enjin sangkut dan bot nelayan tempatan di sekitar perairan Tanjung Pengelih, dekat Pengerang di sini.

Komandernya Asisten Komisioner (ACP) Mohd Khamsani Abdul Rahman berkata lima suspek rakyat negara jiran itu ditahan kira-kira pukul 3.10 pagi ini berhampiran Jeti Tentera Laut Diraja Malaysia, KD Sultan Ismail.

"Berdasarkan maklumat orang awam, anggota PGM berjaya mengesan sebuah bot yang sedang menunda sebuah bot lain. Pemeriksaan di dalam bot itu kemudian menemui beberapa peralatan dipercayai diguna untuk kegiatan mencuri seperti alat pemotong dan tiga parang panjang," katanya kepada pemberita di sini.

Mengulas lanjut, Mohd Khamsani berkata kumpulan itu dipercayai memasuki perairan negara pada sebelah pagi dengan menyamar sebagai nelayan tempatan sebelum mencuri bot dan enjin sangkut pada sebelah malam.

Bot dan enjin yang dicuri itu kemudian dijual atau digunakan untuk melakukan rompakan di laut, katanya.

"Kegiatan mencuri bot dan enjin nelayan semakin berleluasa tahun ini dengan 13 kes dilaporkan berlaku di Felda Air Tawar, Felda Adela dan Telok Sengat sejak awal tahun," katanya.

Beliau berkata kesemua lelaki dianggar berumur antara 20 dan 43 tahun yang tidak mempunyai sebarang dokumen itu ditahan di Balai Polis Pengerang untuk siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Mohd Khamsani juga tidak menolak kemungkinan ada anggota kumpulan itu yang masih bebas. - BERNAMA

Artikel Lain