suria

Polis Tahan Dua Pengedar Dadah Di Marang

KUALA TERENGGGANU: Polis menahan dua lelaki yang dipercayai bergiat aktif dalam pengedaran dadah di Dungun dalam satu serbuan yang dilakukan ke sebuah rumah di Kampung Jambu Bongkok, Marang malam semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Supritendan Roslan Abd Wahid berkata, dalam serbuan kira-kira pukul 9 malam itu, polis turut merampas enam botol heroin yang dianggar bernilai RM8,500.

"Kedua-dua lelaki ini dipercayai menjadikan rumah sewa berkenaan sebagai tempat untuk membungkus dadah heroin untuk pasaran di sekitar daerah Dungun dan ia dilakukan untuk mengelak mereka ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Dungun," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal juga mendapati kedua-dua lelaki itu yang berumur 31 dan 44 tahun dan masing-masing berasal dari Marang serta Dungun mempunyai rekod jenayah lampau atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah.

Roslan berkata, kedua-dua lelaki itu kini ditahan reman sehingga 25 Mei ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Sementara itu, tindakan sepasang kekasih yang sanggup berulang-alik lebih 1,000 kilometer setiap minggu untuk membekalkan daun ketum dari Perak ke Besut, mengundang padah apabila mereka ditahan polis di Seberang Jertih, Besut Isnin lepas.

Roslan berkata, ketika itu lelaki dan wanita itu yang masing-masing berusia 31 serta 30 tahun dan berasal Perak, cuba melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta Proton Wira apabila polis mengarahkan kenderaan itu dihentikan untuk tujuan pemeriksaan.

"Bagaimanapun tindakan pantas polis berjaya menahan mereka dan hasil pemeriksaan ke atas kenderaan itu, polis menemui daun ketum seberat 105 kilogram yang dianggar bernilai RM5,000," katanya.

Siasatan polis mendapati pasangan itu merupakan dalang dalam kegiatan pengedaran daun ketum dari utara tanah air sejak awal tahun ini dan polis sedang mengenal pasti mereka yang terlibat dalam rangkaian penjualan air daun ketum itu di Besut.

Pasangan kekasih itu kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara dua tahun atau denda sebanyak RM30,000 atau kedua-duanya.

Dalam perkembangan lain, polis sedang mencari seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung satu kes cubaan melanggar pegawai dan anggota polis dengan kereta dalam satu kejadian pada 13 Mei lepas.

Roslan berkata, lelaki itu dikenali sebagai Mohd Saiful Bahri Talib atau nama gelarannya Saiful Alor Limbat, 31, berasal dari Kampung Alor Limbat Bukit Payong, Marang.

Dalam kejadian 10.45 pagi 13 Mei lepas, dua lelaki yang menaiki kereta bertindak nekad dengan cuba merempuh anggota dan pegawai polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Marang dalam usaha melarikan diri daripada ditahan polis.

Katanya, kedua-dua lelaki itu dipercayai terlibat dengan kegiatan pengedaran dadah dan polis menyiasat kes cubaan merempuh itu mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas kesalahan cuba membunuh. - BERNAMA

Artikel Lain