suria

Ibu Bayi Dan Teman Lelaki Mengaku Salah Kebumikan Mayat Bayi

MELAKA: Dua pelajar iaitu ibu bayi dan teman lelakinya mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan menyembunyikan kelahiran dan mengebumikan mayat seorang bayi lelaki di tepi sungai di Taman Melaka Baru, Batu Berendam pada Rabu lepas.

Ibu bayi itu, seorang pelajar berusia 15 tahun, dari Durian Tunggal, Alor Gajah dan teman lelakinya, Muhammad Safiuddin Mohd Zahari, 19, dari Taman Melaka Baru, di sini telah dituduh bersama-sama melakukannya di antara pukul 12 tengah hari hingga 12.30 tengah hari pada 12 Mei lepas.

Kedua-dua tertuduh yang bertubuh kecil didakwa mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama iaitu jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pelajar perempuan itu yang kelihatan menggigil di mahkamah, memakai dua lapis kemeja-t dan menutup mukanya dengan sehelai tuala manakala pelajar lelaki pula memakai kemeja-t berwarna cerah dan berseluar gelap.

Muhammad Safiuddin berada dalam kandang tertuduh manakala pelajar perempuan itu berada di luar kandang sewaktu jurubahasa membaca pertuduhan di hadapan Majistret Muhamad Faizal Ismail.

Kedua-duanya mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa.

Timbalan Pendakwa Raya Mahmoodah Abdul Latif meminta mahkamah mengenakan ikat jamin RM10,000 dan seorang penjamin kepada kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguambela.

Ketika merayu ikat jamin itu dikurangkan, Muhammad Safiuddin memberitahu mahkamah dia ingin meneruskan pengajiannya dan juga meminta mahkamah memberi peluang kepadanya untuk berubah.

Manakala pelajar perempuan dalam rayuannya berkata dia mahu meneruskan pelajarannya dan turut memberitahu ibunya seorang ibu tunggal.

Muhamad Faizal menetapkan kedua-dua tertuduh dikenakan ikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 17 Jun depan untuk laporan sosial dan laporan akhlak disediakan oleh pihak pendakwaan sebelum dijatuhi hukuman.

Terdahulu wartawan dan jurugambar telah berada di Mahkamah Majistret Alor Gajah sejak pukul 8 pagi untuk liputan kes berkenaan sebelum dimaklumkan pada kira-kira pukul 1 tengah hari bahawa kes telah dipindahkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain