suria

PGM Tahan 8 Pelarian Afghanistan

PELABUHAN KLANG: Cubaan lapan pelarian Afghanistan menyeludup keluar dari negara ini gagal apabila semuanya ditahan Pasukan Gerakan Marin (PGM) di sini malam tadi.

Hasil pemeriksaan mendapati semua warga asing itu tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan dipercayai dibuang sebelum ditahan.

Ketika ditahan, semua lelaki yang berusia antara 20 dan 45 tahun itu dipercayai menjadikan Malaysia sebagai transit untuk ke Australia.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PGM Pelabuhan Klang, Deputi Supritendan Norzaid Muhammad Said berkata, mereka berjaya dikesan ketika operasi ‘Op Cegah Jenayah Octopus’ yang diketuai Cif Inspektor Abd Salam Ab Razak di kawasan perairan Selangor.

“Berdasarkan maklumat yang diterima, operasi yang dijalankan kira-kira 8.45 malam di perairan Laut Pintu Gedung itu telah mengesan sebuah bot laju tidak bernombor.

“Bot berkenaan memecut laju melarikan diri apabila diarahkan berhenti, namun berjaya dipintas PGM di kawasan perairan Laut Selat Lumut.

“Bagaimanapun, taikong bot laju tersebut telah terjun ke laut melarikan diri ke daratan dan tidak dapat dikesan,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, modus operandi menyeludup keluar kumpulan itu menggunakan bot laju dengan enjin sangkut berkuasa tinggi.

“Ia didalangi oleh satu sindiket dan mereka dipercayai membayar kira-kira AS$1,000 (RM3,235) setiap seorang,” katanya.

Menurut Norzaid, kesemuanya ditahan di bawah Akta Imigresen Sek 6 (3) (c) 1959/1963 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

“Siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengesan dalang yang terlibat dalam aktiviti ini,” katanya.

Artikel Lain