suria

Peruntukan Khas RM10 Juta Bagi Semarakkan Aktiviti Belia - Najib

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan peruntukan khas RM10 juta kepada Kementerian Belia dan Sukan dan Majlis Belia Malaysia (MBM) bagi menyemarakkan aktiviti belia di seluruh negara.

Perdana Menteri berkata aktiviti itu mesti bersesuaian dengan tiga pendekatan iaitu "pembabitan", "penyertaan" dan "pemerkasaan" bagi mendapatkan penglibatan lebih menyeluruh di kalangan belia.

"Menteri Belia dan Sukan serta MBM akan bantu para belia tetapi jangan manjakan mereka, bantu mereka dengan cara yang patut.

"Ini akan menyemarakkan lagi daya juang dan semangat pemimpin-pemimpin belia di seluruh tanah air. Para pemimpin belia adalah cerminan masa depan negara," katanya dalam amanat pada majlis perhimpunan Hari Belia Negara 2010 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Turut hadir isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek dan Presiden MBM Mohamed Maliki Mohamed Rapiee.

Najib berkata bagi pendekatan "kehendak", segala program yang dirancang perlu memenuhi kehendak dan kemahuan golongan belia.

"Mesti kita dengar, jangan daripada atas (pemimpin) kepada belia, bukan pendekatan dari atas ke bawah. Mungkin dulu sesuai tetapi sekarang, "engagement" bererti kita mesti dengar apa dalam isi hati golongan belia dan cuba terjemahkan program kita berdasarkan kehendak belia," katanya.

Mengenai kaedah "penyertaan", Perdana Menteri berkata golongan belia perlu diberi peluang untuk menyertai aktiviti-aktiviti berdasarkan kepada kemampuan dan kepimpinan mereka.

Sementara pendekatan "pemerkasaan", katanya ialah bagi tujuan memberikan tanggungjawab, kuasa dan peluang kepimpinan kepada para belia bagi melahirkan pelbagai program yang diminati oleh mereka.

"Oleh itu kita gunakanlah pendekatan EPE (engagement, participative, empowerment (kehendak, penyertaan, pemerkasaan)), kita akan dapat penglibatan secara menyeluruh daripada belia," katanya.

Najib berkata komponen belia adalah besar dan pada tahun ini, terdapat peningkatan sebanyak 5 peratus golongan belia menjadikan jumlahnya 11.65 juta.

Katanya para belia sekarang ini sudah ada kemampuan untuk membuat gerakan besar-besaran sesama sendiri dengan menggunakan laman sosial atau media baru seperti facebook.

Beliau berkata setakat ini terdapat 200,000 belia di seluruh negara telah berdaftar sebagai rakan facebook beliau.

Najib berkata beliau juga kagum dan amat tertarik dengan konsep sambutan Hari Belia Negara tahun ini, yang mendapat sambutan di luar jangkaan menerusi pelbagai program dan ia menunjukkan contoh pemikiran kreatif dan inovatif.

Sehubungan itu, beliau menyarankan supaya sambutan Hari Belia Negara tahun depan diteruskan di sini, dengan mempelbagaikan lagi aktiviti.

Perdana Menteri kemudiannya menyampaikan Anugerah Belia Negara kepada pemenang sebagai pengiktirafan kerajaan kepada individu dan organisasi yang banyak berjasa dan menyumbang kepada pembangunan belia.

Pemenang anugerah itu pada tahun ini ialah Othman Ahmad bagi kategori Kesukarelaan, Irmohizam Ibrahim (Kepimpinan), Mohd Kama Kaharmuzakir Kamarudin (Keusahawanan), Ramadan Mohd Taf (Wira Tani) dan Zahra Masoumah Abdul Halim (Daya Juang Malaysia Boleh).

Tokoh Jasa Belia Lelaki dimenangi Datuk Suhaimi Ibrahim.

[BERITA SELANJUTNYA SELEPAS INI]

Artikel Lain