suria

Kerjaya Bukan Alasan Abai Tanggungjawab Kepada Keluarga - Rosmah

KUALA LUMPUR: Kaum ibu tidak harus menjadikan kerjaya sebagai alasan dalam kegagalan menjalankan tanggungjawab terhadap anak-anak dan keluarga, kata isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor.

"Ingin saya tekankan di sini bahawa kerjaya tidak boleh dijadikan sebagai alasan untuk kita gagal menumpukan perhatian serta melaksanakan tanggungjawab terhadap anak-anak dan keluarga.

"Kaum ibu yang bekerjaya perlu bijak dalam mengimbangi kehidupan kerjaya dan keluarga agar tidak berlaku kepincangan di dalam pembangunan sahsiah anak-anak kita," katanya pada majlis Anugerah Tokoh Ibu Cemerlang Parlimen Cheras sempena sambutan Hari Ibu anjuran Wanita Umno Cheras di sini hari ini.

Rosmah berkata meskipun ibu bekerjaya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara, peranan mendidik anak-anak tidak boleh diambil alih institusi sosial lain seperti pembantu rumah, taman asuhan dan guru-guru.

Sementara itu, seramai 10 ibu daripada Pergerakan Wanita Umno, MCA, MIC dan PPP Cheras menerima anugerah Tokoh Ibu daripada isteri Perdana Menteri.

Mereka adalah Halimah Mohd Taff, Che Maizon Yaacob, Hasnah Yusoff, Haniyah Shaharudin, Woo Choon Lan, Lee Nyuk Lean, Hanim Mohamed, P. Dewi, VM Gandhi dan M. Kanagasundari.

Hasnah Yusoff, 57, berkata beliau terharu pengorbanannya sebagai seorang ibu dan suri rumah dalam membesarkan lima orang anak turut dihargai pihak lain.

"Saya tidak menyangka Wanita Umno sudi memberikan anugerah ini dan perjuangan saya dengan Umno Cheras sebagai Ahli Jawatankuasa selama ini dilihat sangat berbaloi," katanya.

Turut hadir, Ketua Umno Cheras Datuk Syed Ali Alhabshee dan Ketua Wanita Umno Cheras Datuk Faridah Abu Hassan. - BERNAMA

Artikel Lain