suria

Sanusi Junid Cadang Tubuh Bank Model Ekonomi Baru

KUALA LUMPUR: Bekas menteri kabinet Tan Sri Sanusi Junid telah mencadangkan penubuhan Bank Model Ekonomi Baru (BMEB)/Bank 1Malaysia dengan modal sebanyak RM10 bilion yang bermatlamat untuk membasmi kemiskinan serta menyusun semula masyarakat tanpa mengira kaum.

Katanya BMEB boleh bertindak sebagai bank konvensional atau institusi kewangan Islam sepenuhnya atau menggabungkan kedua-duanya sekali.

"Ini ialah satu usaha untuk menggabungkan hasrat dan perjuangan yang belum selesai dengan aspirasi generasi masa kini yang mencabar dan membawa Malaysia yang bersatu ke arah kejayaan dalam menghadapi cabaran global yang sering bergolak," katanya.

Beliau berkata demikian di dalam kertas kerja mengenai modal dan kewangan usahawan Melayu yang dibentangkannya pada Konvensyen Usahawan Melayu 2010 anjuran Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) di sini hari ini.

Sumber modal tersebut, katanya, boleh diperolehi dari Petronas, Tenaga Nasional, Telekom Malaysia, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Tabung Haji, zakat, pelabur serta kerajaan pusat dan negeri.

Antara kegiatan bank tersebut adalah untuk membiayai pendidikan, pinjaman perumahan, peniaga kecil, pelancongan, kesihatan, penanam padi, petani, penternak dan nelayan, kraftangan, industri kampung, industri kecil dan sederhana. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Wee Choo Keong Keluar PKR

Artikel Lain