suria

Model Baru Ekonomi Rangsang Pertumbuhan Ekonomi

PULAU PINANG: Pembaharuan pada struktur dasar fiskal ekonomi yang akan dilaksanakan di bawah Model Baru Ekonomi pada Jun ini berupaya merangsang pertumbuhan ekonomi pada kadar yang tinggi.

Ahli Ekonomi OCBC Ltd, Selena Ling berkata pembaharuan yang merangkumi pelbagai aspek dan bidang itu juga sangat dinantikan. Katanya perubahan seperti insentif mesra pelaburan asing khususnya bagi industri berteknologi tinggi juga akan membantu kerajaan untuk menarik pelaburan masuk ke negara ini.

"Gabungan antara insentif tersebut dengan perubahan yang sihat dalam ekonomi secara langsung akan memperbaiki bajet defisit 2010 pada tahun ini," katanya kepada pemberita selepas membentangkan kertas kerja pada seminar 'Tinjauan Masa Depan Ekonomi' di sini hari ini.

Beliau berkata ekonomi negara dijangka kembali pulih tahun ini dengan pengukuhan ketara dalam eksport dan permintaan domestik.

"Eksport negara ketika ini bergerak sangat pantas dan eksport barangan komoditi hampir kembali kepada kedudukan asal sebelum kejatuhannya pada 2008," katanya.

Beliau berkata selain itu, pengukuhan ringgit dan kadar pertumbuhan global yang baik akan memacu pertambahan berganda dalam pelaburan swasta.

Katanya dengan perubahan dan pembaharuan itu juga nanti akan menyokong peningkatan dalam pasaran kerja sekaligus menurunkan kadar pengangguran di negara ini. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Wee Choo Keong Keluar PKR

Artikel Lain