suria

Polis Tahan Empat Lelaki, Dua Wanita Disyaki Terlibat Kes Samun Di Petaling Jaya

PETALING JAYA: Polis menahan empat lelaki dan dua wanita yang disyaki terbabit dalam beberapa kejadian pecah rumah dan samun sekitar daerah ini dan Kepong, dalam satu serbuan di sebuah hotel empat bintang di sini awal bulan ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamad berkata, ketika ditahan kesemua mereka yang berumur antara 20 dan 41 tahun itu berada dalam keadaan khayal selepas mengambil dadah.

Beliau berkata, polis turut merampas empat kereta tempatan yang merupakan kereta curi, beberapa jenis dadah, parang serta kuku kambing yang dipercayai digunakan untuk memecah rumah dalam serbuan pada 1 Mei lepas itu, dan semua barang rampasan dianggar bernilai RM300,000.

"Modus Operandi kumpulan ini adalah dengan memecah masuk rumah menggunakan parang pada waktu siang ketika penghuninya keluar bekerja. Mereka sering tukar hotel yang dijadikan lokasi penginapan selepas menyamun," katanya.

Katanya, polis akan memohon untuk menyambung tempoh reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah rumah selepas tempoh reman enam hari mereka tamat hari ini.

Sementara itu, dalam kes berasingan, polis menahan dua beradik lelaki yang menggunakan kereta Perodua Viva milik bapa mereka untuk melakukan jenayah samun jalanan di sekitar Sea Park dan Sunway.

Arjunaidi berkata, mereka dipercayai menjalankan aktiviti jenayah itu pada tengah malam dan menjadikan orang awam yang berjalan berseorangan sebagai mangsa, dengan yang terbaru membabitkan seorang lelaki berumur 20-an disamun ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Sunway dua hari lepas.

Katanya, bertindak atas satu laporan, sepasukan polis menahan kedua-dua suspek yang ketika itu sedang berehat di rumah mereka di sebuah flat di Persiaran Cempaka, Bandar Sri Damansara dekat sini tengah hari semalam.

Beliau berkata, polis merampas beberapa bilah pedang samurai serta parang yang digunakan ketika menyamun, dan polis sedang mencari seorang lagi suspek yang dipercayai rakan mereka yang turut terlibat. - BERNAMA

Artikel Lain