suria

Kastam Kedah Rampas 16 Kg Heroin Bernilai RM484,000

BUKIT KAYU HITAM: Kastam Diraja Malaysia Kedah merampas dadah jenis heroin seberat 16 kilogram yang cuba dibawa masuk ke negara ini melalui Kompleks Imigresen Bukit Kayu Hitam, di sini Sabtu lepas.

Pengarah Kastam negeri Saadon Mohd Dros berkata rampasan dadah bernilai RM484,000 itu dibuat hasil pemeriksaan terhadap sebuah kereta yang dipandu rakyat tempatan.

Berikutan itu, seorang lelaki berusia 34 tahun ditahan bagi membantu siasatan, katanya kepada pemberita di sini hari ini.

"Dadah itu diisi dalam sebuah beg pakaian. Hasil pemeriksaan terhadap beg itu, kami menemui 41 bungkusan mengandungi serbuk bewarna putih mampat yang disyaki heroin," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata dadah itu dibungkus dengan tujuh lapis kertas dan diletakkan di dalam beg pakaian yang tidak mempunyai barangan lain.

Saadon berkata siasatan masih dijalankan bagi memastikan sama ada dadah itu dibawa masuk terus dari negara jiran atau dari negara lain melalui negara jiran.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - BERNAMA

Artikel Lain