suria

Kerajaan Komited Perangi Jenayah Khusus Di Empat Negeri

TAMPIN: Kerajaan komited dalam memerangi jenayah, khususnya di Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Pulau Pinang, dengan sasaran pengurangan jenayah jalanan sehingga 20 peratus dan jenayah indeks 5 peratus pada hujung tahun ini, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wira Abu Seman Yusop.

Beliau berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) diberi tanggungjawab untuk mengurangkan kadar jenayah sebagai salah satu Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA).

"Penggembelengan usaha dan tenaga oleh semua pihak ini sekaligus membuahkan kejayaan kami dalam mengurangkan jenayah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan lapang sasar polis bantuan Felda di Felda Bukit Rokan, Gemencheh dekat sini hari ini.

Turut hadir ialah Pengerusi Felda Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor dan Ketua Polis Negeri Semblan Datuk Osman Salleh.

Katanya laporan statistik NKRA Polis Diraja Malaysia bagi kejadian jenayah seluruh negara menunjukkan penurunan bagi jenayah indeks 15.35 peratus, dan jenayah jalanan 38.7 peratus bagi tempoh Januari 2010, berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Abu Seman berkata jumlah kes-kes jenayah dalam tempoh antara Januari dan April tahun ini mencatatkan 59,661 kes, iaitu penurunan 10,822 berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

"Untuk mencapai sasaran pengurangan jenayah ini, kerajaan akan melipatganda usaha untuk bertindak secara tegas dan bersepadu dengan melibatkan pelbagai pihak, sama ada agensi kerajaan, swasta atau orang awam bagi menanganinya," katanya.

Katanya dalam usaha memastikan sasaran yang ditetapkan bagi mengurangkan jenayah tercapai hujung tahun ini, banyak lagi usaha perlu dilakukan bagi menjayakan NKRA mengurangkan jenayah.

Beliau berkata inisiatif seperti mewujudkan skim rondaan sukarela (SRS), civilianisation of PDRM, memasang CCTV, mengadakan program bandar selamat dan lain-lain inisiatif sudah digerakkan, namun usaha mengurangkan jenayah pasti tidak akan berjaya tanpa sokongan orang ramai.

"Oleh itu peningkatan kesedaran dan kerjasama daripada semua pihak diperlukan untuk mewujudkan suatu persekitaran yang selamat untuk semua," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain