suria

Kerajaan Pulau Pinang Ditegur Kurang Prihatin Budaya Setempat

PULAU PINANG: Seorang anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang menegur kerajaan negeri kerana kurang prihatin dan dianggap tidak memahami budaya masyarakat tempatan apabila melakukan banyak kesilapan dalam menyediakan risalah pelancongan negeri itu. Muhammad Farid Saad (BN-Pulau Betong) berkata, terdapat beberapa ikon yang jelas bukan budaya masyarakat Pulau Pinang telah dimuatkan dalam risalah itu.

"Gambar wau bulan dan wayang kulit bukan budaya orang di Pulau Pinang, adakah Exco tidak faham, tidak mengetahui atau tidak ambil berat tentang hal ini," katanya ketika membahas usul terima kasih ucapan Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Rahman Abbas pada persidangan DUN di sini, hari ini.

Muhammad Farid berkata, risalah pelancongan yang dikeluarkan juga tidak menunjukkan keseimbangan destinasi pelancongan di negeri ini kerana hanya memberi maklumat tentang bahagian pulau sahaja, sebaliknya tiada maklumat bagi daerah seberang.

"Tiada keseimbangan maklumat, seolah-olah Pulau Pinang hanya bahagian pulau sahaja, ini sangat menyedihkan. Begitu juga dengan destinasi menarik pelancongan tidak digambarkan kebudayaan masyarakat majmuk," katanya.

Beliau berharap kerajaan negeri dapat mengemas kini maklumat itu dan lebih teliti berhubung maklumat dan segala ikon yang digunakan untuk penghasilan risalah pelancongan.

Muhammad Farid yang juga pengerusi program inap desa di Pulau Pinang turut menegur sikap kerajaan negeri yang tidak memberi sebarang bentuk bantuan bagi mengembangkan program itu dalam usaha menarik ramai pelancong.

"Agak mendukacitakan kerana kerajaan negeri tiada memberi sumbangan terhadap program homestay, sedangkan ia merupakan salah satu alternatif bagi menarik kedatangan pelancong khususnya bagi yang gemar suasana hidup di desa," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain