suria

PPP Harus Cadang Jawatan Kerajaan Untuk Pemimpin Muda - Murugiah

BANTING: Senator Datuk T. Murugiah telah mengkritik presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) kerana mencadangkan bahawa parti itu bakal mencalonkan seorang pemimpin kanan parti untuk jawatan menteri jika berlaku sebarang rombakan Kabinet.

Bekas ahli majlis tertinggi PPP itu berkata Datuk M. Kayveas seharusnya menampilkan pemimpin muda supaya mereka dapat diterima oleh rakyat.

"Pemimpin muda boleh melakukan kerja dengan lebih baik. Pengundi muda kini mengharapkan kepada pemimpin muda yang bertenaga yang memapu memimpin dan mewakili parti itu dengan baik dalam kerajaan.

"Semua parti komponen BN yang lain sedang memberi laluan kepada golongan muda tetapi PPP nampaknya cuba menafikan hak golongan muda untuk memegang jawatan dalam kerajaan," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

"Ini sama seperti menyangkal keupayaan golongan muda. Ini bermakna PPP lebih baik membubarkan sayap Pemuda dan Puteri," kata Murugiah, yang juga timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri, selepas melawat penduduk Batu 34, Jalan Dengkil-Banting dekat sini.

Pada Ahad lalu, Kayveas membuat cadangan itu selepas mempengerusikan mesyuarat majlis tertinggi parti itu di Kuala Lumpur.

Murugiah dipecat dari PPP sebelum ini dan masih memegang jawatan timbalan menteri.

Mengenai lawatannya ke Batu 34, Murugiah berkata Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah membekalkan elektrik kepada penduduk di situ yang menunggu selama 10 tahun untuk menikmati kemudahan itu.

Katanya kerajaan telah memperuntukkan RM220,000 untuk kemudahan itu disediakan kepada penduduk di situ. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Zaid Pertahan Nik Aziz

Artikel Lain