suria

Kredibiliti Mafrel Sebagai Pemantau Pilihan Raya Dipertikai - Idris

KUALA LUMPUR: Kredibiliti badan bukan kerajaan, Malaysians For Free and Fair Elections (Mafrel), sebagai pemerhati dan pemantau pilihan raya tidak berpartisan dipertikaikan seorang senator di Dewan Negara hari ini.

Datuk Idris Buang mendakwa Mafrel diasaskan oleh bekas Ketua Pemuda Angkatan Muda Keadilan Selangor dan Wilayah Persekutuan dan beliau menyoal adakah pertubuhan itu "mata dan telinga kepada pihak asing tertentu".

"Dalam kesemua laporan Mafrel, mereka telah menyerang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Barisan Nasional (BN). Mereka juga telah memberikan tanggapan kepada masyarakat bahawa SPR adalah agen kepada BN," katanya ketika perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2010) 2010 di Dewan Negara di sini.

Idris juga mempersoalkan sumber kewangan Mafrel untuk menampung perbelanjaan operasinya yang disifatkan sebagai memerlukan dana yang besar.

"Mafrel adalah syarikat RM2...katakanlah mereka membayar RM50 untuk seorang sukarelawan yang bertugas pada pilihan raya kecil selama 10 hari, bayangkan banyak mana mereka perlu membayar kepada 2,000 orang untuk memantau pilihan raya kecil.

"Apa yang saya sebut hanyalah elaun harian, bagaimana pula dengan elaun kenderaan dan penginapan sewaktu pilihan raya," katanya. Beliau berharap SPR tidak menarik balik keputusannya menggugurkan pelantikan Mafrel sebagai pemerhati bebas. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Zaid Pertahan Nik Aziz

Artikel Lain