suria

Geng Mat Pelat Samun Mangsa Di Mesin ATM Tumpas

KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan 'Geng Mat Pelat' yang disyaki terbabit dalam kegiatan samun di Subang Jaya dan Puchong di sini sejak empat bulan lepas dengan tertangkapnya dua lelaki termasuk ketua kumpulan itu.

Ketua kumpulan itu yang berusia 27 tahun dan konconya, 20, diberkas di Kondominium Desa Impian, Bukit Puchong, dekat sini pada pukul 4.30 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner (ACP) Zainal Rashid Abu Bakar berkata kumpulan tiga lelaki itu didapati terbabit dalam hampir 20 kes samun melibatkan kerugian lebih RM40,000.

Seorang lagi rakan mereka, 21, masih diburu.

Kumpulan itu digelar 'Geng Mat Pelat' kerana ketuanya bercakap pelat.

Zainal Rashid berkata Ketua kumpulan itu ditahan di parkir kondominium itu manakala rakannya ditahan di dalam rumah mereka dan hasil pemeriksaan di unit kondominum itu, polis menemui tiga topi keledar, tiga keping nombor pendaftaran palsu, sebilah parang dan pisau.

Turut dirampas wang tunai RM6,000 dan beberapa mata wang asing selain dua motosikal.

Sebuah daripada motosikal itu digunakan dalam kes samun di sebuah mesin pengeluaran wang (ATM) di Bandar Sunway pada 17 April itu.

Kedua-dua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga 11 Mei ini, katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Zaid Pertahan Nik Aziz

Artikel Lain