suria

Penjawat Awam Perlu Patuhi Disiplin Masa

KANGAR: Penjawat awam di negeri ini perlu menunjukkan komitmen yang tinggi terutama dalam menepati masa termasuk ketika menghadiri majlis tertentu bagi menjamin mutu perkhidmatan awam.

Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Datuk Mohamad Zabidi Zainal berkata, penjawat awam perlu mencontohi amalan rakyat Jepun yang mengutamakan disiplin masa sehingga negara itu menjadi maju.

"Jika penjawat awam lewat datang ke pejabat atau pulang lebih awal dari masa sebenar, ia sudah pasti akan menyusahkan pelanggan mereka, begitu juga sekiranya datang lewat pada satu-satu majlis akan menampakkan mereka tidak berdisiplin," katanya pada perhimpunan bulanan kakitangan perkhidmatan awam di sini hari ini.

Mengenai sambutan ulang tahun keputeraan Raja Perlis yang ke-67 dan sambutan sepuluh tahun pemerintahan baginda, Mohamad Zabidi meminta setiap jabatan dan agensi yang terbabit dengan kerja pembersihan dan keindahan memastikan dua perkara itu berada pada tahap memuaskan.

Beliau berkata, sebagai sebuah negeri yang kecil, tidak sepatutnya wujud kelemahan dalam tugas menjaga kebersihan dan keindahan di negeri ini. - BERNAMA

Artikel Lain