suria

Tukang Masak Maut Ketika Hantar Makanan Di Bachok

BACHOK: Seorang tukang masak wanita maut apabila motosikal yang ditungganginya terlanggar sebuah lubang di tengah jalan semasa hujan di sini pagi tadi.

Mangsa Rokiah Ismail, 52, ketika itu dalam perjalanan untuk menghantar nasi goreng kira-kira 10 pagi ke sebuah pusat jagaan harian di Kampung Pohon Tanjung, Perupok.

"Terdapat satu lubang di jalan kecil berturap menuju ke Kampung Pohon Tanjung yang digenangi air, menyebabkan mangsa tidak nampak lubang berkenaan lalu melanggarnya sehingga terbalik motosikalnya," kata Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Supritendan Yahya Saleh.

Beliau berkata, mangsa meninggal di tempat kejadian ekoran cedera teruk di kepala.

Mangsa mempunyai 11 anak dan enam daripada mereka masih bersekolah sementara suami mangsa merupakan seorang nelayan.

Mayat Rokiah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Panjang, Perupok malam ini. - BERNAMA

Artikel Lain